Umno Tidak Akan Keluar Kerajaan Perpaduan

 


Mohamad berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Januari 2026.

KUALA LUMPUR, 14 Jan – UMNO menegaskan parti itu tidak akan keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak akan membiarkan negara ini dalam keadaan huru-hara.

“Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan.

“Bak kata orang tua-tua, berfikir biar panjang, bertindak biar bijak,” katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Perwakilan Umno mendengar ucapan Mohamad yang merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Januari 2026.

Kenyataan itu dipercayai sebagai mengulas desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO berkata, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.

Beliau bagaimanapun mahu dan menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang selain menegaskan jika tindakan itu diambil UMNO tidak akan menyebabkan kerajaan sedia ada runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya kerajaan runtuh tanpa pelan penggantian jelas, yang lahir bukanlah kebebasan tetapi kekosongan kuasa.

“Kita telah menyaksikan di beberapa negara, bagaimana pertelingkahan politik yang tidak terkawal telah melumpuhkan institusi negara. Parlimen menjadi medan tempur, kerajaan bertukar tanpa hala tuju, ekonomi terjunam, pelabur melarikan diri.

“Dan akhirnya, rakyat yang menanggung derita paling besar. Apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul. Apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.

“Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan, dan apabila kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti itu, bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan merupakan jawapan untuk UMNO pulih.

“Ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita. Ia hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek,” katanya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohamad berkata, parti itu dihukum oleh rakyat negeri itu disebabkan mereka gagal membaca persekitaran yang berubah.

Katanya, UMNO juga terlalu terbawa dengan isu nasional, tanpa lantang mengetengahkan agenda tuntas untuk Sabah bagi orang Sabah.

“Orang Sabah memilih untuk menolak kita. Mereka memilih perikatan lokal yang lebih serasi dengan sentimen tempatan. Ini menunjukkan masih banyak isu yang belum berjaya kita uruskan dengan berkesan.

“Parti belum pulih. Banyak yang harus kita tambah baik dan kemaskan. Yang jelas, semua itu mesti dilakukan dengan menerima secara terbuka dan berlapang dada,” katanya.




No comments: