Apa soalan panas kepada PM di Dewan Rakyat hari ini?



Sidang Parlimen pagi ini dijangka akan menumpukan tentang pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah, khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.



Berdasarkan Aturan Mesyuarat, perkara berkenaan akan dibangkitkan oleh Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri,

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).



Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, isu utama yang dijangka panas adalah berkenaan MyKiosk dan tarif Amerika Syarikat.


Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mahukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan statistik terkini pelaksanaan program MyKiosk 2.0 dan status projek naik taraf Stadium Majlis Perbandaran Batu Pahat termasuk skop kerja, kos terlibat serta jangkaan tarikh siap.


Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) pula minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah kerajaan dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat dengan keterlibatan kerajaan negeri supaya dapat menyelaraskan respons pelaburan, menyusun semula insentif negeri serta membantu industri tempatan mengadaptasi dengan landskap dagangan yang lebih mencabar.




No comments: