
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi penuh istiadat ketenteraan sebaik tiba di Dataran Kremlin, Moscow sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia Vladimir Putin pada 14 Mei 2025. Foto Bernama
MOSCOW, 15 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menerima ijazah doktor kehormat daripada Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangannya di pentas global.
Pada hari ketiga lawatan rasmi Perdana Menteri ke Russia, beliau turut dijadualkan memberikan syarahan umum di MGIMO iaitu sebuah akademi diplomatik terulung di negara tersebut.
Beliau akan menyampaikan syarahan bertajuk “Bridging Worlds in a Fractured Age” di hadapan profesor dan para mahasiswa di universiti tersohor di Eropah Timur.
Sebaik selesai memberikan syarahan umum dan menerima ijazah doktor kehormat di MGIMO, beliau akan meneruskan lawatannya ke Kazan, Republik Tatarstan bagi mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan (Ketua), Rustam Minnikhanov.
Di Tatarstan, Anwar dijangka menghadiri mesyuarat peringkat tinggi dan diplomasi ekonomi dalam sektor halal.
Perbincangan dijangka tertumpu kepada kerjasama dalam pensijilan halal, agroteknologi, kewangan Islam dan pendidikan.

Anwar juga dijadual mengunjungi kompleks Kazan Kremlin, Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), sebelum melawat dua pameran utama di Expo Kazan iaitu pameran teknologi dan Ekspo Halal Russia 2025.
Ini sekali gus memberi peluang kepada Anwar untuk terus menonjolkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif dan berdaya saing ditambah lagi negara kini menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Perdana Menteri diiringi lima menteri kanan termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Lawatannya selama sehari itu dijangka diakhiri dengan majlis resepsi sempena Forum Kazan 2025. Perdana Menteri dijadual memberikan ucap tamanya ketika sesi pleno pada hari berikutnya.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Russia, yang akan berakhir esok.
No comments:
Post a Comment