HarapandailyMay 15, 2025
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang akan diperkenalkan
kerajaan bagi menggantikan skim pencen dijangka mengekalkan sistem pembayaran
sedia ada.
Menerusi sistem tersebut, penjawat awam dibayar secara bulanan
berbanding dibenarkan membuat pengeluaran sekali gus apabila menepati had umur
persaraan ditetapkan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul
Aziz, berkata cadangan itu disifatkan lebih proaktif memandangkan terdapat
banyak kes pesara kerajaan kerugian wang persaraan akibat menjadi mangsa
‘scam’, selain membolehkan simpanan hari tua diuruskan dengan lebih efisien.
Beliau berkata, cadangan itu turut dipersetujui Kementerian Kewangan
(MoF) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terbabit dalam Kajian
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang dikelolakan Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA).
“Kita sedang drafkan supaya penjawat awam bagi lantikan tetap bercarum nanti
akan terima bayaran bulanan sebagaimana pesara sekarang.
“Itu sudah boleh kita lakukan kerana ada persetujuan MoF dan KWSP.
“Kita sudah maklumkan perkara ini
kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), jika dapat selonggok
(sebagaimana sekarang) ada pesara yang jadi mangsa scam hingga baru dua hari
keluarkan duit, semuanya habis.
“Jadi, kita drafkan supaya mereka terima (bayaran) secara bulanan,
katalah setahun keperluan mereka RM25,000, selebihnya simpanan itu akan
dilaburkan semula dalam KWSP.
“Ini (lebih menguntungkan) kerana akan terima pula dividen setiap akhir
tahun,” katanya, dipetik BH.

No comments:
Post a Comment