SITI NUR ZAWANIMay 15, 2025
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara yang
dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB
Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali.
Keputusan itu sekaligus mengetepikan rayuan CEO GISBH itu dan isterinya,
Azura Md Yusof untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi kerana mendakwa dia
ditahan secara salah (habeas corpus) oleh pihak berkuasa.
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua
Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mendapati permohonan kedua-dua
pemohon itu tidak mempunyai merit.
“Tiada merit dalam rayuan ini, rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi
dikekalkan,” katanya memetik Harian Metro.
Dengan keputusan itu, Nasiruddin kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh
manakala Azura pula memperoleh ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam
sebelum ini.
Pasangan suami isteri itu sebelum ini memfailkan permohonan penahanan
salah dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya,
Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta Kerajaan
Malaysia sebagai responden.
Untuk rekod, seramai lapan tertuduh wanita termasuk Azura yang didakwa
atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah dibenarkan diikat jamin oleh
Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Bagaimanapun, Nasiruddin serta 12 lagi pemohon dalam pertuduhan sama
tidak dibenarkan diikat jamin.

No comments:
Post a Comment