HarapandailyMay 3, 2025
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
menegaskan hasrat awal Bersatu untuk menggantikan UMNO sudah berakhir.
Beliau berkata demikian mengulas pengakuan Ahli Majlis Pimpinan
Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa trend
pengundian dan sokongan orang Melayu terhadap parti itu hampir tepu.
“Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengakui sokongan orang Melayu terhadap
Bersatu sudah tepu. Makin lama makin merosot. Memang benar.
“Bersatu sukar untuk bersaing dengan UMNO dan Pas.
“Dua parti itu pilihan utama orang Melayu. Bersatu tidak boleh bersaing
dengan UMNO dan Pas,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang dalam wawancara
bersama FMT mengakui bimbang jika PN tiada strategi lebih anjal untuk memenangi
hati dan kepercayaan golongan pertengahan khususnya pengundi bukan Melayu.
Wan Fayhsal berkata, PN menang 74 kerusi Parlimen pada PRU15 sekaligus
dianggapnya sebagai sokongan orang Melayu dan Bumiputera tetapi kini
berkurangan kepada 68 kerusi selepas enam wakil rakyat Bersatu mengalihkan
sokongan kepada Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Johor berpendapat adalah lebih baik Bersatu bersaing dengan PKR.
“Justeru, jadikan Bersatu parti berbilang kaum macam PKR. Bersatu perlu
“lain dari yang lain”.
“Satu lagi pilihan terbaik ialah bubar parti Bersatu.
“Lebih baik cari warna dan cogankata lain supaya tidak nampak meniru
UMNO. Barulah “lain dari yang lain”,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Rengit itu lagi.
Untuk rekod, PN hanya menang tiga kawasan daripada 11 PRK yang diadakan
selepas PRU15 iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman serta DUN Sungai
Bakap.
Tujuh kawasan lagi dikuasai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Harapan (PH) manakala satu dimiliki Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bahkan, BN berjaya merampas DUN Nenggiri yang dimenangi PN pada Pilihan
Raya Negeri (PRN) 2023.

No comments:
Post a Comment