HarapandailyMay 3, 2025
Pas disifatkan seperti lelaki gila talak yang tergila-gila kepada bekas
isterinya, kata Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che
Ibrahim Mohamed (gambar atas).
Menurutnya, hal itu dapat dilihat pada tindakan Pas memujuk rayu Umno
agar sudi bersama dengan mereka kembali selain mengutuk dan mengecam DAP.
“… sedangkan bekas isterinya bukan sahaja tidak sudi untuk kembali
kepada Pas, bahkan sedang berbahagia dengan pasangannya yang lain,” katanya
menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, pelbagai “kisah duka lara politik” dilakukan Pas
termasuk mencaci dan mengejek UMNO kerana enggan kembali bersama parti komponen
Perikatan Nasional (PN) itu.
“Episod segala yang UMNO buat bersama pasangannya bukan sahaja
dicemburui, tapi dikutuk dan dihentam.
“Episod bukan sahaja mengkafirkan orang Islam, bahkan orang bukan Islam
pun turut dikafirkan kerana menolak Pas,” tempelaknya.
Che Ibrahim berkata, sebelum ini Pas melaksanakan tahaluf siyasi atau
kerjasama politik dengan DAP.
“DAP yang dulunya antara rakan tahaluf sejati Pas, kini bertukar ibarat
musyrikin Mekah atau Yahudi Madinah kepada Rasulullah SAW.
“Tapi andainya hari ini DAP tidak bersama PH atau meninggalkan Kerajaan
Madani, esoknya sudah pasti rombongan meminang dari Pas akan terjenguk-jenguk
di tangga DAP,” kata Che Ibrahim lagi.
No comments:
Post a Comment