
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hadir pada Sambutan Hari Peringatan Polis ke-218 di Kuala Lumpur pada 25 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 27 Mar – Pemberian rebat secara sekali bayar (one-off) menerusi Pelan RAHMAH bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Polis ke-218 disifatkan menambah kemeriahan sambutan hari peringatan penting bagi warga Sang Saka Biru itu di seluruh negara.
Tinjauan mendapati rata-rata warga pasukan keselamatan itu amat menyambut baik serta menghargai pemberian yang akan diterima sama ada bagi pembayaran bil bulan April, Mei atau Jun tahun ini untuk pelanggan pascabayar (postpaid).
Manakala anggota yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut terma syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang digunakan.

Bagi Sharil Mastar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berharap insentif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai tanda terima kasih terhadap keringat yang dicurahkan.
“Saya amat gembira dan menyokong insentif ini dan insentif-insentif lain yang dilaksanakan. Jika diteruskan, ia dapat mengurangkan beban tanggungan anggota PDRM,” katanya.
Inisiatif ini tambahnya menaikkan semangat pasukan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Meninjau di platform media sosial pula, warganet turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana menghargai susah payah warga PDRM memelihara keamanan negara.

“Harap manfaat ini diberikan secara telus dan semua anggota yang layak dapat menikmatinya,” tulis Cempaka Puteh.
“Alhamdulillah. Ekonomi terurus penjawat awam pun merasa hasil #MADANIBekerja,” catat Shazz Madie.
Pada 25 Mac, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada anggota beruniform serta awam yang berkhidmat dengan PDRM yang akan memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang.
Bagi anggota PRDM yang belum mengemas kini nombor telefon pelan pascarbayar atau prabayar, mereka hendaklah berbuat demikian menerusi pengurusan sumber manusia masing-masing sebelum 10 April untuk menikmati Insentif Rebat RAHMAH tersebut.
No comments:
Post a Comment