OLEH LOKMAN NOOR ADAM
Semakin hari semakin bercelaru minda rakyat, khususnya orang Melayu akibat isu pemindahan kuil di tanah milik Jakel. Hendak dialihkan salah, hendak dikekalkan akhirnya masjid tidak dapat dibina.
Pertamanya, izinkan saya mengimbau kembali kronologi kes kuil tersebut :
1) Kuil itu dikatakan sudah berada di situ 130 tahun yang lalu. Ada yang kata ianya usia pokok, bukan usia bangunan.
2) Tahun 2008, tapak asal kuil itu ditempatkan secara sementara di lokasi sekarang atas arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberi laluan kepada pembangunan di kawasan tapak kuil asal.
3) Tahun 2014 pula, DBKL telah menjual tanah tersebut kepada syarikat swasta, iaitu Jakel. Tanah tersebut milik DBKL, tidak ada sebab kenapa DBKL perlu minta izin sesiapa untuk menjualnya.
Apapun, isu tersebut sudah selesai dan berlalu. Sekarang ini, tanah tersebut sudah menjadi milik Jakel. Kuil itupun hanya sebahagian kecil sahaja dari keseluruhan tanah milik Jakel.
4) Pada tahun 2020, Jakel sudah dapat kelulusan pembangunan untuk membina sebuah masjid dengan syarat perlu selesaikan dengan pihak kuil terlebih dahulu.
5) Dari tahun 2020, sampai sekarang, dah bertukar empat Perdana Menteri. Semua tidak berani nak membantu untuk selesaikan masalah ini untuk beri laluan kepada pembinaan masjid ni.
6) Tahun 2025 ini, bila PM setuju untuk hadir ke majlis pecah tanah Masjid MADANI ni, DBKL telah bantu untuk mengusahakan agar kuil dapat dipindahkan dari tanah milik Jakel tersebut ke lokasi lain.
Keputusan kerajaan, Kuil itu akan berpindah ke tanah yang telah dikenal pasti lebih kurang 50 meter dari tapak sedia ada.
Ramai orang Melayu yang bising bila pihak kuil diberi tanah gantian. Namun mereka tidak sedar, betapa besarnya rahmat yang kita dapat. Bila selesainya isu ini, akhirnya Masjid MADANI dapat dibina tanpa sebarang halangan lagi.
Sebenarnya kerajaan ada 3 pilihan :
1. Biarkan Jakel dan kuil selesaikan di mahkamah untuk tentukan hak masing-masing. Ini akan mengambil masa yang sabmngat lama.
Jika Jakel menang di mahkamah, komuniti kuil itu mungkin akan tidak setuju dan mungkin akan berlaku ketegangan kaum.
Sebaliknya, jika pihak kuil menang sebab ada “legitimate expectation” diberikan sebelum ini, orang Melayu pula akan marah.
Jadi, kalau teruskan dengan cadangan ini, ketegangan kaum mungkin akan berlaku. Masjid tak boleh dibina secepat mungkin. Proses mahkamah pasti akan berpanjangan. Kena lalu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
2. Robohkan kuil tu sebab ceroboh tanah milik swasta. Inipun sama. Jika lerajaan ambil tindakan ini, akan berlaku ketegangan kaum. Masjid MADANI akhirnya tidak akan dapat dibina dengan segera.
3. Beri sebahagian tanah kerajaan untuk bina kuil ini, dan kemudiannya digazetkan tanah tersebut kepada rumah ibadat untuk kuil itu terus beroperasi seperti biasa.
Dengan kaedah ini, Masjid MADANI pun boleh dibina dengan harmoni. Tiada ketegangan kaum, masjid boleh dibina tanpa kacau ganggu, kuil boleh beroperasi di tapak baru seperti ditapak lama.
Persoalan:
1. Adakah kuil dapat tanah percuma? Tanah yang diberikan itu adalah tanah milik kerajaan. Gazetkan untuk rumah ibadat. Tetap menjadi milik kerajaan. Kalau kita jual tanah tu pada kuil, kita tak boleh jual mahal untuk rumah ibadat.
Harga yang sangat minimum. Tapi bila dah jual, dah jadi milik dia. Suka hati dia nak buat apa, termasuk jual balik tanah tu dengan harga semasa. Sebaliknya penyelesaian Kerajaan ni menang-menanf. Semua dapat bahagian masing-masing.
2. Firdaus Wong buat tuduhan ada deal RM2 juta dengan kuil. Jangan sebarkan fitnah. Kerajaan tak bagi apa-apa pampasan pun. Yang PM sebut, Jakel yang akan berikan sedikit pampasan kepada pengurusan kuil. Itu antara Jakel dan kuil. Firdaus Wong kena minta maaf sebab sebarkan fitnah.
3. Ada yang tanya kos pemindahan dan pembinaan itu siapa akan tanggung? Kuil itu tanggung sendiri la. Mereka kena hantar pelan bangunan untuk mohon Perintah Pembangunan dari DBKL, kena lah lalu proses.
Macam Menteri Wilayah sebut, pembangunan tapak ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuatkuasa.
4. Pas cuba kaitkan isu ini dengan isu Kampung Sungai Baru. Katanya kuil diberi tapak percuma, pemilik Kg Sg Baru yang mana semua orang Melayu, ditindas macam di Palestin.
Isu ini jauh berbeza. Pas janganlah tunggang isu ini membabi-buta. Tanah itu dah jadi milik pemaju pun. Majoriti dah bersetuju. Urusan pengambilan tanah ini pun dibuat masa zaman PN memerintah (tahun 2021).
Zaman Tan Sri Annuar Musa yang mula bayar pampasan ikut nilai yang penilai berikan. Lebih 95% pampasan dah selesai sebelum Dr. Zaliha jadi Menteri Wilayah pun.
Mahathir pula bangkitkan pasal nilai pampasan. Dia ni dah 22 tahun 22 bulan jadi Perdana Menteri pun tak faham ke yang penilai bertauliah dah buat penilaian tanah. Nilai tanah ini bukan boleh main petik dari langit je.
Majoriti dah keluar dari Kg Sg Baru, tinggal beberapa orang sahaja masih tinggal disitu. Ada dua jalan penyelesaian, sama ada nak masukkan semula yang ramai (majoriti) yang sudah keluar dari situ, atau nak keluarkan yang sikit (minoriti) dari tapak tersebut?Mestilah keluarkan yang sikit.
Kesimpulan:
1. Dalam isu ini, perlu lihat dengan hati terbuka dan jangan main sentimen kaum dan agama. Kita sebagai orang Islam patutnya bersatu sebab akhirnya masjid yang besar di Masjid India ini akhirnya dapat dibina. Besar rahmat yang kita akan dapat.
2. Apalah sangat sebahagian tanah hanya dengan keluasan 4,000 kaki persegi (yang tu pun masih tanah milik kerajaan) dibandingkan dengan kemungkinan ketegangan kaum dan agama berlaku.
3. Perkara yang paling utama, peletakan batu asas masjid ini dapat diteruskan, tiada ketegangan dan rusuhan akan berlaku dan semua dapat hidup dengan harmoni.
Namun apa boleh buat, walau apapun usaha baik yang kerajaan MADANI cuba laksana, penghasut tetap akan menghasut. Yang penting, kita semua kena fikir dengan waras untuk kebaikan bersama.
Berhentilah dari jadi batu api dan menyemarakkan kebencian antara kaum. Cukup-cukuplah politik melampau ini. Kan bagus akhirnya masjid siap, masyarakat india dapat lokasi rumah ibadat baru.
No comments:
Post a Comment