Warganet wujudkan FB ‘Rumah Ibadat Haram Dibina Di mana Hari Ini’

 


Satu laman Facebook ‘Rumah Ibadat Haram Dibina Di mana Hari Ini’ ditubuhkan oleh pelayar internet sejak beberapa hari lalu bagi mengenal pasti tapak ibadat yang dibina secara tidak sah di tanah awam dan persendirian.

Laman FB itu dibuat rentetan kontroversi melibatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dibina di atas tanah milik Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel).


Menurut maklumat kumpulan berkenaan, laman itu ditubuhkan sebagai ruang awam untuk membincangkan isu pembinaan struktur rumah ibadat  haram dari sudut perundangan, penguatkuasaan, dan tatakelola tanah tanpa mengira bangsa, agama, atau kepercayaan.


Pentadbir menetapkan peraturan yang tidak membenarkan sebarang hantaran menghina agama, kaum atau komuniti tertentu.

Ia mengingatkan segala perkongsian dan komen perlu berlandaskan fakta dan bukti, bukan spekulasi atau fitnah, tidak menyentuh atau menghina mana-mana agama, kaum, atau komuniti serta tidak menyebar kandungan hasutan, provokasi atau menyentuh sensitiviti agama.


“Admin tidak bertanggungjawab terhadap kenyataan ahli yang melanggar undang-undang atau polisi Facebook mahupun undang-undang negara. Komen bersifat ekstrem, rasis, atau berunsur kebencian akan dipadam dan ahli akan disekat serta-merta.

“Tujuan kami ialah membina kesedaran sivik dan menuntut keadilan dalam pemeliharaan undang-undang dan keadilan sosial,” kata pentadbir halaman itu.


Laman itu kini mempunyai jumlah pengikut sebanyak 69,000 akaun.


Ahli aktif berkongsi gambar, lokasi malah koordinat GPS tapak rumah ibadat haram yang dibina secara kecil-kecilan di seluruh negara.

Pengikut laman itu turut berkongsi cara terperinci bagaimana untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kewujudan tapak ibadat yang dibina secara haram.


Ada pengguna mendakwa terdapat tapak ibadat yang dahulunya kecil menjadi semakin besar selepas tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.



No comments: