
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan tinjauan dan merasmikan Kempen Turun Harga dan Peletakan Logo Malaysia MADANI di Pasaraya MYDIN di Subang pada 27 Mac 2025. Foto Wong Chen
SUBANG, 27 Mar – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelbagai pihak dalam usaha menurunkan harga barangan sempena sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata, perkembangan itu adalah kali pertama dalam sejarah sejak beliau aktif menganggotai pentadbiran negara antara 1980-an hingga 1990-an.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian itu didorong kerjasama pelbagai syarikat swasta, termasuk rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN).
Ahli Parlimen Tambun itu juga mengakui tiada kes kekurangan bekalan barangan yang berlaku menjelang sambutan Aidilfitri, tahun ini.
“Ada satu kesan yang saya hendak sebut di sini yang penting. Saya dalam kerajaan sudah jadi menteri sejak 1980-an.
“Pada 1990-an saya mempengerusikan jawatankuasa Kabinet (bagi) kawalan harga menjelang hari kebesaran seperti hari raya, raya cina (Tahun Baharu Cina) dan sebagainya.
“Tahun ini, terima kasih kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta syarikat seperti MYDIN.
“Ini kali pertama dalam sejarah yang saya ingat sebelum atau menjelang hari kebesaran, harga (barangan) terkawal, tiada kekurangan barang dan dia dapat memastikan harga turun, terutama seperti telur dan pelbagai barangan lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Turun Harga dan Peletakan Logo Malaysia MADANI di Pasaraya MYDIN di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri mirudin Shari; Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.
No comments:
Post a Comment