Malaysia berjaya menduduki tempat ketujuh dalam senarai 10 negara terbaik untuk persaraan bagi 2025.
Menurut dapatan dari International Living, majalah yang berpangkalan di Ireland, kos sara hidup yang rendah di negara ini serta infrastruktur yang baik menjadikan ia lokasi tepat untuk pesara.
Penilaian dilakukan terhadap 20 negara berdasarkan beberapa faktor utama termasuk kos sara hidup, penjagaan kesihatan, pilihan visa dan pemastautin, iklim, tadbir urus serta gaya hidup.
Dalam laporan itu, ia turut menyebut bahawa Malaysia menyediakan kemudahan perubatan bertaraf tinggi
“Malaysia menawarkan gabungan luar biasa antara kos yang berpatutan, kemudahan perubatan bertaraf tinggi dan budaya yang kaya, menjadikannya destinasi yang mudah diakses dan memberi pengalaman bermakna kepada pesara,” menurut International Living memetik Bernama.
Di Kuala Lumpur, kadar sewa jauh lebih rendah berbanding bandar utama di Barat, dengan sebuah pangsapuri satu bilik boleh disewa pada harga antara AS$300 hingga AS$500 sebulan, manakala kos utiliti sekitar AS$40 hingga AS$60.
Kos makan di luar juga sangat berpatutan, dengan hidangan tempatan boleh dinikmati serendah AS$2 hingga AS$3.
Bandar seperti Pulau Pinang dan Melaka menawarkan kos sara hidup yang lebih berbaloi dengan suasana yang lebih santai, menjadikannya lokasi persaraan yang menarik.
Laporan itu turut memuji iklim tropika Malaysia dengan suhu sepanjang tahun antara 25 hingga 35 darjah Celsius.
Ditambah dengan kemudahan moden dan populasi yang fasih berbahasa Inggeris, peralihan bagi pesara asing menjadi lebih mudah.
Pilihan visa jangka panjang seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) juga diiktiraf sebagai antara kelebihan bagi warga asing yang ingin bersara di Malaysia.
Panama menduduki tempat teratas dalam indeks 2025, diikuti Portugal, Costa Rica, Mexico, Perancis dan Sepanyol. Negara lain dalam kelompok 10 teratas termasuk Greece dan Itali.
No comments:
Post a Comment