Pemuda AMANAH menyeru semua pihak untuk bertenang serta memberi ruang kepada proses perbincangan yang sedang berlangsung antara pihak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, pemilik tanah, dan pihak berkuasa tempatan.
Naib Ketua Pemudanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, setiap isu yang melibatkan sensitiviti agama harus diselesaikan dengan berlandaskan prinsip keadilan, rundingan terbuka, dan saling memahami.
“Pemuda AMANAH menghormati hak setiap komuniti dalam menjalankan ibadah mereka dan mengakui kepentingan warisan sejarah dalam membentuk identiti masyarakat.
“Pada masa sama, hak pemilikan tanah yang sah juga perlu dihormati, selagi ia ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap semua pihak yang terlibat.
“Berdasarkan maklumat yang telah dikongsikan, usaha mencari penyelesaian terbaik telah berjalan sejak sekian lama, termasuk perbincangan tentang relokasi yang lebih sesuai bagi memastikan keselesaan penganut Hindu terus terjaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asmaaliff berkata, beliau melihat adanya kesungguhan daripada pihak pemilik tanah dan pihak berkuasa untuk memastikan peralihan berlaku secara adil dan tidak tergesa-gesa.
Tawaran bantuan penempatan semula dan komitmen untuk mencari tapak alternatif yang lebih sesuai menunjukkan niat baik dalam memastikan semua pihak mendapat penyelesaian yang terbaik.
Oleh itu kata beliau, adalah wajar untuk membiarkan proses rundingan ini berjalan tanpa sebarang campur tangan yang boleh merumitkan keadaan atau menyulitkan usaha mencari titik persetujuan.
“Pemuda AMANAH juga ingin mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu ini atau menggunakan naratif yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Kami menyeru agar semua pihak memberi kepercayaan kepada mereka yang terlibat untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara yang adil dan harmoni, demi kepentingan bersama,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment