KKR Disaran Teruskan Penggunaan Teknologi Terkini, Jimat Kos – PM Anwar


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR di Kompleks Kerja Raya pada 20 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Mar – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan penggunaan teknologi terkini yang sesuai dan menjimatkan kos bagi perancangan, penyediaan serta pembinaan untuk memastikan setiap projek dapat dilaksana dengan lebih cekap dan segera.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata kementerian itu juga mesti berusaha menghasilkan infrastruktur yang berkualiti dan berfungsi sepertimana yang dimatlamatkan.

“KKR juga perlu merencanakan kaedah dan proses yang baharu dengan melaksanakan idea, strategi, perubahan dan reformasi yang cepat selari dengan arus teknologi dan arus pembangunan negara masa kini dengan sumber yang terhad,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR di Kompleks Kerja Raya pada 20 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perkara itu antara yang dibangkitkan beliau dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR di Kompleks Kerja Raya pada Khamis sempena Program Ihya Ramadan bagi mendengar perkembangan terkini gerak kerja kementerian berkenaan dan mengenal pasti permasalahan berbangkit.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani buku khas sebelum mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR di Kompleks Kerja Raya pada 20 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar juga berkata KKR dan agensi di bawah seliaannya merupakan organisasi yang sangat kritikal kerana ia adalah pelaksana utama bagi projek berskala besar serta sederhana merentasi semua kementerian di bawah Rancangan Malaysia selain projek kecil merentasi negeri dan daerah bagi memenuhi keperluan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.


No comments: