PENDAPAT, 17 Dis – Kedudukan ekonomi yang kukuh adalah prasyarat utama yang membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana) dengan lebih adil dan berkesan.
Ini dapat dilihat apabila saban tahun ekonomi negara berada dalam keadaan terbaik termasuk kestabilan politik, maka kerajaan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara melalui kutipan cukai, sumber semula jadi, dan sektor ekonomi yang berkembang pesat.
Unjuran pendapatan negara yang lebih tinggi memberikan ruang kepada kerajaan untuk menyediakan dana yang mencukupi bagi program-program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARa).
STR dan SARa merupakan inisiatif yang bertujuan untuk meringankan beban hidup golongan B40 dan M40 dengan memberikan bantuan tunai serta sokongan asas seperti barangan keperluan.
Kedua-dua bantuan ini dilaksanakan berdasarkan kriteria kelayakan yang jelas, memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Ekonomi MADANI yang kukuh membolehkan kerajaan memastikan ketelusan dan keadilan dalam pengagihan bantuan di samping mengurangkan risiko ketirisan atau penyalahgunaan dana kepada pihak tidak berhak menerimanya.
Dengan ekonomi yang terus berkembang, kerajaan juga mampu memperkenalkan mekanisme yang lebih canggih untuk penyaluran bantuan, seperti penggunaan teknologi digital untuk memudahkan proses permohonan dan pembayaran.
Ini bagi memastikan bantuan sampai tepat pada sasaran, mengurangkan masa dan kos yang diperlukan untuk urusan pentadbiran selain memastikan lebih 10 juta isi rumah mendapat manfaat terus daripada bantuan yang disalurkan.
Selain itu, ekonomi yang stabil juga memungkinkan kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai program pembangunan yang dapat meningkatkan taraf hidup golongan B40 dan M40 dalam jangka panjang, bukan sekadar bergantung kepada bantuan bulanan atau secara one-off.
Dalam konteks ini, STR dan SARa bukan sahaja memberikan sokongan kewangan segera, tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat tercapai melalui pengurusan ekonomi yang berkesan dan mampan.
Adalah diharapkan bantuan yang disalurkan dapat mengurangkan beban rakyat dalam usaha mencari keseimbangan antara tanggungjawab sosial dan kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang.
– Abul Jais Ashfaq Ahmed merupakan pemimpin KEADILAN Perak dan Ketua Cabang KEADILAN Beruas