Pertahan Mahathir isu Batu Puteh, Hadi sempat lagi sekeh DAP

 


Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukan sahaja mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh malah sempat menyekeh DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Marang itu berkata, apa yang menarik adalah pelakon tambahan di sebalik isu Batu Puteh adalah dalam kalangan orang Melayu di dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Adapun DAP yang terkenal lantang bersuara tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya.


“Nampak tidak setianya kepada negara dan lebih rela kepada negara asing.

“Tidak mengenang budi diberi kerakyatan walau sifatnya pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah,” katanya.

Wakil rakyat Pas yang umum dikenali kerap ponteng sidang Dewan Rakyat itu berkata demikian menerusi Minda Presiden Pas yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook miliknya.


Malah, Hadi mendakwa Malaysia sudah kehilangan Batu Puteh yang terletak kira-kira 7.7 batu nautika dari Tanjung Penyusuh di tenggara Semenanjung Malaysia dan 25.5 batu nautika dari Singapura itu sebelum Mahathir memerintah Malaysia pada 1981.


Dakwaan Presiden Pas itu mengejutkan ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sudah pun mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir.


Dia juga merujuk surat kenyataan rasmi bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura berkenaan penyerahan terumbu Batu Puteh kepada Singapura oleh pihak tertentu yang disifatkan beliau ‘pendek akalnya’.


Namun, kata bekas Menteri Besar Terengganu itu, kini tindakan bodoh itu ditutup oleh para pembohong dan penipu dengan cara yang terbuka seperti menudung bangkai dengan tapak tangan yang kecil bagi menyalahkan Mahathir yang tidak ada kaitan menyerahnya kepada penjajah.


“Parlimen diperkudakan menjadi penipu secara lakonan dengan memaksa Tun Dr. Mahathir menjadi hero yang dituduh, sedangkan hero sebenar yang menipu berlindung di belakang pentas Parlimen,” kata Hadi lagi.

Untuk rekod, Pulau Batu Puteh berukuran 137 meter panjang dengan purata 60 meter lebar meliputi kawasan lebih kurang 8,560 meter persegi ketika air surut.


Pelayar China, Laksamana Cheng Ho menamakan Batu Puteh sebagai ‘Pia Chio’ atau ‘white island’ manakala sumber Portugis menggelarnya sebagai Pedra Branca yang bermaksud ‘white rock’.

Laporan berkaitan RCI mengenai Pulau Batu Puteh diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Disember lalu berpendapat Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas, permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.


Bagaimanapun, Dr. Mahathir mempertahankan tindakan itu sebagai keputusan bersama atau secara kolektif kesemua anggota Kabinet ketika itu, bukannya keputusan beliau bersendirian.