KUALA LUMPUR, 17 Dis – Pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari depan adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, bukannya Perdana Menteri.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Perkara 1 Perlembagaan Sabah jelas menyatakan bahawa Perdana Menteri tiada peranan dalam menasihati agong bagi urusan pelantikannya, sebaliknya ia tanggungjawab Ketua Menteri Sabah.
Justeru, beliau menyelar pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz kerana menuduh Perdana Menteri bersikap hipokrit susulan pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, hari ini
Ini berikutan dakwa Amira, Musa pernah dilabel sebagai perasuah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pelantikannya ke jawatan itu juga tidak memenuhi semangat reformasi dilaung PH selama ini.
Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah,dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di sini, pagi tadi.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.