Hartawan Malaysia, Tan Sri T Ananda Krishnan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan sendiri syarikat Usaha Tegas Sdn Bhd, iaitu syarikat pegangan pelaburan yang diterajui Ananda.
“Dengan rasa dukacita, kami mengumumkan pemergian pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia dengan tenang pada 28 November.
“Mendiang memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara dan dunia korporat, serta inisiatif kebajikannya telah menyentuh banyak kehidupan,” kata syarikat itu.
Ia juga memohon agar permintaan keluarga untuk berkabung secara peribadi dihormati semua pihak.
Sebelum ini Forbes menyenaraikan beliau sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia, selepas hartawan hotel dan hartanah Tan Sri Robert Kuok serta Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong, dengan nilai kekayaan bersih sebanyak USD5.1 bilion.
Ananda juga mengasaskan pengendali mudah alih kedua terbesar di Malaysia, Maxis Bhd, serta syarikat penyiaran dan media, Astro Malaysia Holdings Bhd.