AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan membuat kajian menyeluruh ke atas keberkesanan sistem sedia ada bagi memastikan pencapaian pelajar dapat dinilai secara holistik dan lebih efisien.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, banyak pihak menyuarakan agar peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 dikembalikan semula.
“AMANAH mengambil maklum cadangan pelbagai pihak termasuk golongan cendekiawan, pendidik, NGO dan ibu bapa yang mencadangkan sistem peperiksaan umum bagi pelajar Tingkatan 3 (PT3) dan Darjah 6 (UPSR) dikembalikan,” katanya.
Perkara berkaitan peperiksaan UPSR dan PT3 itu antara ketetapan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional malam tadi.
Dalam masa sama, AMANAH menyatakan sokongan penuh kepada usaha reformasi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengangkat martabat negara ini.
“Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dalam memulihkan dan membugar ekonomi negara harus mendapat sokongan penuh rakyat.
“AMANAH juga amat menghargai sokongan semua parti gabungan perpaduan yang konsisten mengekalkan kestabilan politik sepanjang dua tahun ini dan tempoh mendatang pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” kata Faiz lagi.