PEMIMPIN PAS KENA SEKOLAH CUBA FITNAH DAN MENGELIRUKAN RAKYAT! DIMANA OT...



Dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan, dilihat cubaan mewujudkan naratif palsu bagi mengelirukan rakyat. Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata sebagai seorang pemimpin, Fadhli seharusnya memahami dan meneliti cadangan itu secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan bersifat separuh masak. “Mengapa (Fadhli) tidak menyebut sekali subsidi penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40% bahan api bersubsidi oleh golongan T15 dan warga asing? Itulah ibu segala isi cadangan kerajaan. Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan jaminan 85% rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan cadangan itu. Perkara ini tidak diceritakan, yang diceritakan ialah kisah ‘separuh masak’ iaitu kerajaan nak tarik subsidi, katanya dalam kenyataan. Pada Jumaat, Fadhli yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dalam catatan di Facebook, mendakwa jangkaan penarikan subsidi RON95 dilaksanakan selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Mahkota pada 28 Sept menjadi kenyataan. Kamil berkata, hingga kini pembangkang bukan sahaja gagal memberikan kritikan membina, sebaliknya kerap mewujudkan spekulasi jahat membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan. Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian, dan bukannya menggunakan pertimbangan rasional, katanya. Dalam pada itu, beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana ketetapan dibuat kerajaan berhubung penyasaran subsidi berkenaan bertujuan membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok kaya dan warga asing. Malah, kerajaan juga menegaskan penjimatan itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini, katanya.