PN JANGAN KABURKAN FAKTA SUBSIDI , BANTUAN TUNAI LEBIH TINGGI

 Oleh: Abdullah Zaid



Peningkatan bantuan subsidi dan tunai pada era Kerajaan Madani lebih tinggi berbanding pada era pentadbiran PN.


Bagi Ketua Penerangan Angatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf, tuduhan kerajaan zalim yang dilontarkan pembangkang sejak kebelakangan ini hanyalah usaha untuk memperbodohkan rakyat, dan tidak seharusnya dipercayai terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.


Katanya, malah penyasaran subsidi diesel adalah usaha kerajaan untuk mempertingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat.


"Banyak tuduhan pembangkang kata kita tidak mendengar rintihan rakyat, tetapi mereka tidak sedar bantuan sekarang jauh lebih tinggi daripada peruntukan yang pembangkang beri semasa mereka jadi kerajaan.


"Kita ambil contoh Belanjawan 2024, Bantuan Tunai Rahmah (BTR) RM10 bilion dan itu lebih tinggi daripada bantuan tunai era Muhyiddin jadi Perdana Menteri, RM6.5 bilion sahaja.


"Ia tidak termasuk pemberian subsidi yang ditanggung kerajaan ketika ini. Kerajaan masih beri RM 81 bilion kalau dibanding dengan era Muhyiddin hanya RM 28 bilion. Jadi suka atau tidak, pembangkang tidak boleh berada dalam sindrom penafian," katanya kepada Suara Keadilan.


Justeru, Abshar menasihati rakyat agar tidak termakan hasutan pembangkang yang cuba menabur persepsi buruk termasuk dakwaan kos sara hidup dan barang semakin meningkat harga setiap hari.


Menurutnya, berbanding zaman Perikatan Nasional memerintah kos sara hidup dan harga barang jauh lebih stabil, selain bekalan barangan di pasaran mencukupi.


"Kena ingat zaman mereka dahulu telur langsung tidak ada dalam pasaran, harga minyak botol 5 kg (kilogram) ketika mereka jadi kerajaan RM35, sekarang RM25.


"Sebab itu, saya ingatkan orang ramai jangan termakan dengan sentimen pembangkang. Semak rekod semasa mereka jadi kerajaan.


"Hakikatnya, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik apabila unjuran suku kedua kita naik 5.8%, perkembangan positif sebegini adalah bukti dasar yang dibawa kerajaan sekarang berada pada landasan tepat," ujarnya.

No comments: