TUTUP TERUSLAH CERITA KERJASAMA, PAS LEBIH UNTUNG TANPA BEKERJASAMA DENGAN UMNO


Sepatutnya sekarang ini tak timbul lagi soal UMNO mahu bekerjasama dengan Pas atau Pas mahu bekerjasama dengan UMNO.


Ini berikutan penegasan Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi parti itu dipimpin oleh Hadi Awang.


Berikutan itu, Pas kemudiannya membalas mereka juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO selagi Zahid Hamidi masih memimpin parti tersebut.


Dengan kedua-dua parti saling tak sudi antara satu sama lain, nak cerita apa lagi?


Yang masih menimbulkan cerita kononnya ada perbincangan tertentu untuk Pas dan UMNO bekerjasama, apakah mereka itu tak faham-faham lagi?


Lagi pula, baik UMNO atau Pas, lebih baik mereka kekal bermusuhan seperti sedia ada dan bertanding secara berasingan dalam PRU akan datang.


Khusus kepada Pas yang kini memiliki jumlah kerusi Parlimen paling besar di kalangan semua parti, bahkan lebih besar berbanding UMNO yang merupakan ibu yang melahirkannya, Pas sebaiknya kena konsisten dan memiliki keyakinan yang tinggi untuk mereka mengetuai Putrajaya selepas ini.


Tidak perlu untuk Pas menoleh lagi kepada UMNO, sebaliknya mesti istiqamah dan mengekalkan kedudukannya bersama Bersatu dalam PN untuk menghadapi PRU16.


Jika pada PRU15 lepas, Pas berjaya memenangi 43 kerusi Parlimen dan Bersatu 31 kerusi, tetapi berdasarkan prestasi semasa UMNO, PKR dan kerajaan madani yang merosot di mata rakyat sejak akhir-akhir ini, gabungan PN diyakini mampu memenangi angka yang lebih besar lagi daripada jumlah itu.


UMNO dan PKR dirasakan akan kehilangan banyak kerusi lantaran sokongan pengundi Melayu ketika ini semakin menipis, di samping protes daripada pengundi bukan Melayu sebagaimana diperlihatkan di Sungai Bakap sebelum ini dijangka akan berterusan lagi.


Kalau mahu juga berbaik atau sudah terpaksa untuk bekerjasama dengan UMNO, ia hanya sesuai dilakukan selepas keputusan PRU16 diketahui.


Ketika itu barulah wajar dibuka ruang untuk perbincangan ke arah bekerjasama antara satu sama lain.


Ketika itu nanti, dengan UMNO diyakini mempunyai kerusi yang kurang daripada 26 iaitu jumlah yang dimilikinya sekarang, parti itu bahkan mungkin tiada pilihan lain selain bekerjasama dengan PN untuk mengekalkan keberadaannya dalam kerajaan.


Di dalam PH, barangkali hanya DAP mampu memenangi banyak kerusi, itu pun jika pengundi Cina tidak berterusan memprotes kerajaan madani.


PKR dan Amanah, jika sekarang masing-masing ada 31 dan 8 kerusi Parlimen, jumlahnya diramal menurun dengan mendadak pada PRU16 akan datang.


Untuk itu, buat ketika ini, terutamanya kepada pemimpin-pemimpin Pas, tutup mulut dululah cerita-cerita ingin bekerjasama atau berbaik dengan UMNO.


Bahkan jika ada tawaran bekerjasama dengan pihak PH pun lebih baik Pas tolak tepi terlebih dahulu.


Cerita-cerita kerjasama adalah cerita yang tak perlu dan hanya membuang masa buat Pas.


Fokus Pas mulai sekarang hendaklah ditumpukan untuk memenangi paling banyak kerusi Parlimen serta memastikan PN mempunyai jumlah kerusi terbesar sekali berbanding PH dan BN.


Lagi pun, selagi Hadi Awang dan Zahid Hamidi masih ada sebagai tembok penghalang untuk Pas dan UMNO bekerjasama, kekal bersama PN dan memastikan gabungan itu memenangi paling banyak kerusi dalam PRU16 akan datang lebih membuka ruang untuk Pas mencipta sejarah baru dalam politik negara – menakluk kerusi Perdana Menteri buat pertama kali. – ShahbudinHusin 22July2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/22/tutup-teruslah-cerita-kerjasama-pas-lebih-untung-tanpa-bekerjasama-dengan-umno.html



No comments: