Setiausaha Agung PAS Takiyuddin
Hassan tidak pernah membangkitkan isu ‘homoseksual’ terhadap Perdana Menteri
Anwar Ibrahim, kata parti itu.
Sebaliknya, kata pengarah jabatan penerangannya Nadzir Helmi,
rakaman ceramah Takiyuddin sempena pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu sebelum
ini dikerat pendek, disunting dan dimanipulasi dengan niat jahat.
Katanya, hasil akhirnya tidak menggambarkan konteks keseluruhan yang hendak
disampaikan.
Terdahulu tersebar video ringkas di TikTok yang menunjukkan
Takiyudin mendakwa Anwar sebagai pengamal homoseksual tegar.
Nadzir berkata penelitian mereka mendapati Takiyudin hanya
mengulangi apa yang disebut oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkenaan
“pembelaan” terhadap Anwar akibat dakwaan portal Itali Agenzia Nova.
“Ketahuilah ulasan yang disampaikan adalah berbentuk persoalan
apabila pihak YAB PMX belum lagi mengambil sebarang tindakan sedangkan nama baik
seorang perdana menteri wajar dibersihkan jika ia adalah sebuah fitnah yang
nyata.
“Itulah kandungan sebenar dalam
ucapan penuh tanpa disunting dan ternyata ia amat berbeza dengan fitnah yang
sedang berlegar seolah pemimpin PAS membuat kenyataan berkenaan tabiat seksual
yang ternyata dilarang dalam Islam,” katanya.
Menjawab tuduhan itu, Anwar pada Disember 2022 menyindir Hamzah
sebagai belum mendapat tarbiah (didikan) daripada Presiden PAS Abdul Hadi
Awang.
Hadi menghasilkan buku bertajuk Qazaf Mangsa Fitnah tidak lama
selepas Anwar didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan pada akhir 1990-an,
ketika PAS mendukung gerakan reformasi.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pula berkata laman
web yang dipetik Hamzah itu tiada kewibawaan dan tidak dibaca oleh orang Itali
sendiri.
Dalam kenyataan hari ini, Nadzir juga berkata PAS akan meneliti tindakan
undang-undang bagi memastikan penyunting video itu mendapat pengajaran.
Anwar pernah disabitkan bersalah dalam kes liwat tetapi dia
kemudian mendapat pengampunan penuh diraja daripada Yang di-Pertuan Agong pada
2018.
Sebelum ini, pemimpin popular PAS Muhammad Sanusi Md Nor telah
disaman oleh Anwar kerana didakwa memfitnahnya dalam kes liwat.
Mahkamah memberikan perintah injunksi inter-parte bagi
menghalang Menteri Besar Kedah itu mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan
yang didakwa sebagai fitnah itu.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/705692