Dzolkarnain Abidin Al Abyadhi


 1. Bagi golongan ekstrimis (baca berpemikiran Khawarij), negara ini bukan "negara Islam" kerana tidak berhukum dengan "bukum Allah". Sesiapa saja yang bekerja untuk negara ini adalah "musuh Allah" dan "musuh Islam".


2. Sekiranya kelompok Khawarij pada era sahabat sanggup menceroboh nyawa seorang sahabat agung Saiyidina 'Ali Bin Abi Talib RA, apalah sangat nyawa orang lain selain sahabat. Nyawa orang awam lebih-lebih lagilah tiada nilainya pada kaca mata individu atau golongan berpemikiran Khawarij ini.


3. Individu berpemikiran Khawarij ini kadang-kadang tertonjol sebagai seorang yang kuat pegangan agama. Dimana-mana sahaja individu berkenaan akan bercakap tentang berjuang untuk membela Islam bahkan sanggup mati demi Islam. Ungkapan popular ialah mati syahid cita-cita kami.


4. Namun jika diselidik latar belakang, individu sebegini tidak memiliki kefahaman agama yang benar. Nas-nas agama difahami secara literal sahaja. Sementara nas-nas yang diturunkan berkaitan orang kafir dan munafik ditempel atau ditujukan kepada orang Islam.


5. Istilah dalam sejarah politik Islam iaitu zimmi dan harbi diguna tanpa disiplin. Istilah zimmi diguna untuk kafir yang mereka nampak "menyokong" kumpulan mereka sementara harbi pula untuk penentang kumpulan mereka. Bahkan suatu ketika istilah "Muslim harbi" turut diguna untuk Muslim yang tidak bersama-sama dengan "perjuangan Islam" kumpulan mereka.


6. Individu sebegini gemar sekali dengan ayat-ayat Quran tentang perang dan menafsirkannya selari dengan kemahuan dirinya dan kumpulannya. Kalau boleh peristiwa peperangan Badar mahu diulang pada hari ini dengan alasan "betapa banyak golongan sedikit boleh mengalahkan golongan yang banyak".


7. Ayat itu dibawa masuk untuk diaplikasi dalam konteks sistem demokrasi di negara ini. Hal itu mengundang aksi-aksi ganas dan melampau ketika piliharaya berlangsung. Kerana bagi golongan ini, pertembungan dalam pilihanraya antara kumpulan mereka dengan kumpulan lain ibarat pertembungan antara Muslim dan musyrik dalam peperangan Badar.


8. Kita tidak ada pilihan lain. Selagi pemikiran melampau, ekstrim Khawarij tidak dibendung bahkan dibantutkan akar umbinya, selagi itulah nyawa segenap lapisan rakyat terancam atas nama membela agama dan perjuangan Islam.