Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan menjangkakan potensi
pelaburan sebanyak RM24.5 bilion susulan lawatan Perdana Menteri (PM) ke
Australia dan Jerman baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata kunjungan rasmi ke Jerman selama enam hari sebelum ini
berjaya menarik pelabur luar meliputi industri tenaga dan industri pembuatan
termasuk semikonduktor, aeroangkasa, produk kimia, peranti perubatan dan sektor
automotif.
"Antara syarikat-syarikat
Jerman yang telah memberi komitmen untuk melabur di Malaysia termasuk Siemens
Energy, Infineon
Technologies, Airbus, B-Braun,
BMW, Nexperia dan Delo Chemical.
"Dari segi potensi eksport
pula, potensi pembelian tambahan yang diperolehi hasil lawatan ke Jerman adalah
berjumlah RM1.4 bilion daripada syarikat Airbus dan ia memberi suntikan yang
memberangsangkan kepada jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke
Jerman khususnya dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan
datang," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di
Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu
berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang
Pasu) mengenai nama syarikat-syarikat dari Australia dan Jerman yang akan
melabur di Malaysia susulan lawatan di negara berkenaan.
Mengulas lanjut, untuk
pelabur-pelabur Australia, Anwar berkata syarikat AirTrunk, NextDC, LaTrobe
Magnesium, Kumpulan Arnott’s, dan Cochlear Ltd adalah antara yang memberi
komitmen untuk melabur di Malaysia.
"Pelaburan-pelaburan ini
merangkumi sektor pusat data, alat peranti perubatan, industri keluli dan
pembuatan makanan.
"Ia juga dijangka membantu
Malaysia dalam memperkukuhkan ekosistem dalam ekonomi digital dan tenaga boleh
baharu serta mewujudkan sekurang-kurangnya 1,200 peluang pekerjaan berkemahiran
tinggi," ujarnya.
Jelas Perdana Menteri, Malaysia juga menjana potensi jualan eksport produk Malaysia ke Australia sebanyak RM962.1 juta bagi barangan kayu, baja, makanan dan minuman serta komponen elektrik susulan lawatan itu.