Barang kurang dipasaran: 'Ingat waktu PN perintah, telur tiada' - Fuziah




 

Oleh: Abdullah Zaid



Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menafikan dakwaan bekalan barangan bersubsidi masih berkurangan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).



Beliau sebaliknya berkata, data pengeluaran barang bersubsidi seperti gula dan minyak masak pada 2023 lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.



"Pada 2022 pengeluaran gula ialah 437,290 metrik tan manakala pengedaran gula pula 430,713 metrik tan secara keseluruhannya.



"Pada 2023 pula pengeluaran 489,451 metrik tan, pengedaran 471,241 metrik tan.

"Ini bermaksud pengeluaran barang bersubsidi lebih pada tahun 2023 berbanding 2022,  tidak benar sebelum PRU-15 pengeluaran lebih baik.



"Pengeluaran minyak masak paket subsidi pada tahun 2022 secara purata 55,000 metrik tan secara bulanan manakala pada 2023 maksimum pengeluaran 60,000 metrik tan lebih banyak berbanding 2022," katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.



Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN- Masjid Tanah) yang mendakwa bekalan barangan asas berkurangan selepas PRU15.



Membidas soalan Mas Ermieyati, Fuziah turut menegaskan, bekalan telur berada dalam keadaan kritikal sebelum PRU15 iaitu semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.



"Kena ingat pada Oktober 2022 telur langsung tidak ada dalam pasaran, minyak 5 kg sebelum PRU15 RM35, sekarang RM25," ujarnya.



Sementara itu, Fuziah turut menafikan pemberian subsidi tepung gandum bernilai RM40 juta ditamatkan, sebaliknya dialihkan ke program Payung Rahmah membabitkan dana keseluruhan RM200 juta.



"Pada Bajet 2023 ada butiran 040600 iaitu subsidi tepung gandum kegunaan am RM40 juta, manakala Bajet 2024, butiran ini tiada dan ditanya dalam dewan daripada Ahli Yang Berhormat. Jumlah itu ada tetapi di bawah butiran Payung Rahmah ia RM200 juta termasuk RM40 juta.



"Sebelum ini bajet ada diasingkan tetapi tidak pernah dituntut kerana tiada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am dan rakyat pun tak pernah minta," ujarnya.


No comments: