Malaysia sokong penuh resolusi gencatan senjata di PBB - Anwar


 

Malaysia menyokong sepenuhnya resolusi yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang memutuskan untuk menyegerakan gencatan senjata di Gaza yang dikepung Israel.



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, resolusi gencatan senjata itu amat diperlukan untuk memberi bantuan segera ke kawasan penduduk yang terkepung tanpa bekalan makanan dan ubat ubatan sejak beberapa bulan lalu.



"Bagi pihak Kerajaan Malaysia dan semua rakyat Malaysia, saya menyatakan dengan sesungguhnya sokongan kami terhadap Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB menyeru gencatan senjata segera bagi semua keganasan di Gaza, pembebasan segera semua tebusan, dan penghantaran bantuan segera serta dipercepatkan ke wilayah itu.



"Demi Ramadan, dalam semangat yang bertujuan untuk melahirkan renungan, pembaharuan iman kita, dan kembali kepada keluarga, resolusi yang mengikat secara sah ini mesti dikuatkuasakan sekarang.



"Kita mesti segera melegakan penduduk Gaza daripada kesakitan dan penderitaan yang mereka alami selama hampir enam bulan.



"Khususnya, Amerika Syarikat mesti bertegas ke atas sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat antarabangsa dan mematuhi gencatan senjata serta membenarkan kemasukan secara besar-besaran bantuan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan.



PM dalam pada itu memuji negara negara yang terlibat dalam mengundi menyokong resolusi berkenaan.



Katanya, ahli majlis yang dipilih, Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kemanusiaan.



"Malaysia komited terhadap perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, serta kemasukan Palestin sebagai Ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Anwar lagi.



Semalan PBB meluluskan resolusi 2728 apabila sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat mengambil pendirian berkecuali. Sebelum ini AS bertindak menggunakan kuasa pembatal apabila PBB mengundi usul gencatan senjata berkenaan.



*Foto kredit: PBB

 

No comments: