SINETRON MIMPI JATUHKAN KERAJAAN…


Selain bagaimana memperolehi jumlah sokongan yang mencukupi yang menjadi persoalan di sebalik keghairahan blok pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan, perkara lain yang menjadi tanda tanya besar ialah siapa calon Perdana Menteri yang mereka ingin tonjolkan?


Adakah Mahiaddin Md Yasin sekali lagi mahu dijadikan Perdana Menteri?


Atau kali ini Hamzah Zainuddin yang kini Ketua Pembangkang pula yang akan dinamakan?


Mungkinkah Ahmad Samsuri Mokhtar daripada Pas yang baru-baru menang sebagai Ahli Parlimen Kemaman akan diletakkan sebagai calon baru?


Mungkin jugakah Hishammuddin Hussein atau Mohamad Hasan daripada UMNO?


Tidak mustahilkah Fadilah Yusof daripada GPS yang sekarang merupakan Timbalan Perdana Menteri akan dijadikan pilihan?


Yang pasti, di sebalik yang ghairah mahu dijatuhkan hanya seorang bernama Anwar Ibrahim, namun calon penggantinya bukan satu, bukan dua tetapi lebih daripada tiga.


Kalaulah Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih hidup, tentu terdengar jeritannya – berapa banyak calon daaa….


Di sini saja sudah menampakkan betapa blok pembangkang tidak sepakat dan tidak bersatu hati.


Mereka tidak mampu menamakan satu calon yang muktamad untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri untuk mengganti Anwar Ibrahim yang kononnya sudah cukup jumlah mahu diganti.


Dalam hal ini, sudahlah kemungkinan blok pembangkang mampu memperolehi jumlah sokongan yang mencukupi amat diragui, ketidakmampuan mereka menamakan calon yang satu bagi kerusi Perdana Menteri juga menambahkan lagi kemustahilan mimpi boleh bertukar menjadi realiti.


Maka, teruslah bermimpi dengan pelbagai angka lagi – daripada 112, kemudian 120 dan terbaru kononnya sudah naik kepada 129 – selama empat tahun lagi.


Akhirnya, hakikat yang perlu dihadapi untuk kemungkinan menukar kerajaan hanyalah melalui PRU16.


Cuma, jika takut terus diganggu mimpi yang ngeri selepas ini – maklumlah empat tahun perlu bermimpi ala sebuah sinetron – eloklah sebelum tidur bukan saja basuh kaki, tetapi juga basuh kepala sekali.


Selamat bermimpi dan elakkanlah tidur di siang hari kerana mimpi di siang hari selalunya lebih mengerikan lagi. (ShahbudinHusin 06/01/2023)


https://shahbudindotcom.net/2024/01/06/mimpi-panjang-untuk-jatuhkan-kerajaan.html



No comments: