Wan Fayhsal usah timbulkan kekeliruan antara LAKSANA dan PADU








 Tindakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cuba mengelirukan rakyat dalam isu Pangkalan Data Utama (PADU) amat dikesalkan.


Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Haziq Azfar Ishak, kerajaan mengalu alukan kritikan konstruktif terhadap PADU untuk penambahbaikkan tetapi kritikan yang cuba mengaitkan PADU dan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) adalah tidak boleh diterima.


"Beberapa pihak tidak bertanggungjawab melakukan kecurangan terhadap fakta terkait PADU semata-mata ingin mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan, termasuklah Wan Ahmad Fayhsal yang membangkitkan hal yang tidak mempunyai nilai tambah.


"Sudah pasti usaha meraih kredit dengan mengaitkan penubuhan agensi LAKSANA dengan PADU adalah cubaan memperdayakan orang ramai tatkala kedua-duanya mempunyai peranan yang berbeza.


"LAKSANA sendiri adalah bagi menggantikan fungsi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang telah ditubuhkan bertahun-tahun sebelum Perikatan Nasional menerajui Kerajaan Persekutuan lagi," katanya dalam kenyataan.


Tugas LAKSANA, kata Haziq, untuk memantau pelaksanaan inisiatif strategik Kerajaan Malaysia dan menghimpunkan maklumat merentas Kementerian bagi tujuan pemantauan keberkesanan dan impak program yang dilaksanakan


Hal itu, tegas beliau, cukup berbeza dengan PADU yang menghimpunkan maklumat lengkap individu dan isi rumah merentas Kementerian dan agensi Kerajaan secara 'near real time' yang bersesuaian dengan rujukan Kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar dan pemberian bantuan kepada penerima secara tepat.


Selain itu, kata Haziq, tindakan Wan Ahmad Fayhsal membangkitkan hal terkait Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan PADU menunjukkan kefahaman beliau yang cetek berkaitan pangkalan data kerajaan.


"PADU modus operandinya mengumpul data sedia ada daripada agensi Kerajaan yang selama ini tidak tertakluk kepada PDPA, kerana pengendalinya yang merupakan penjawat awam tertakluk kepada pelbagai peraturan dan garis panduan mengendalikan perkongsian data.


"Sebaiknya Wan Ahmad Fayhsal mengambil pendirian menyokong usaha bersepadu Kerajaan Perpaduan mewujudkan PADU seperti yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, dan membantu capaiannya yang lebih besar terhadap masyarakat tanpa mempolemikkan perkara yang tidak mempunyai apa-apa nilai tambah," katanya.


Tegas Haziq, keutamaan yang lebih besar ketika ini adalah menyelamatkan sebilangan besar bilangan subsidi yang tiris dan tersasar daripada golongan yang wajar menerimanya, dan ianya memerlukan sokongan padu semua lapisan masyarakat.



No comments: