KEMPEN KERAS PN PUNCA TIMBUL PERBUATAN EKSTREM









 Beberapa elemen ekstremisme seperti ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri baru-baru ini merupakan kesan daripada pendekatan kempen Perikatan Nasional (PN) yang keras terutamanya apabila berdepan dengan masyarakat berlainan kaum dan agama.

Pengerusi Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN Selangor berkata pendekatan keras itu kemudian telah berkembang ke dalam masyarakat awam hingga membuatkan mereka tidak dapat menerima perbezaan pendapat atau ketika berdepan dengan masyarakat bukan Islam.

“Dahulu kita menghadapi masalah seperti Wahabi tetapi sekarang tanpa disedari orang Islam sudah mula menggunakan pendekatan keras dan tidak lagi mengamalkan soal adab dalam berikhtilaf atau berbeza pandangan.

“Jadi sekarang kalau tidak setuju dia boleh ugut, ancam hingga menyebabkan berlaku keresahan dan ketegangan dalam masyarakat,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.

Mohd Zawawi yang juga bekas Exco Agama Selangor berkata masalah ekstremisme dan tidak dapat menerima perbezaan pendapat ini pernah melanda di dunia Islam yang lain seperti Sudan, Mesir dan Pakistan sebelum ini sehingga menyebabkan rakyat bertelagah sesama-sendiri.

Beliau yang turut bersetuju dengan ingatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang penyusupan elemen takfiri Khawarij juga mahu supaya elemen ekstremisme itu segera dibendung supaya dapat dicegah dari awal supaya tidak menjadi wabak.

“Misalnya di Kedah baru-baru ini ada lelaki yang menikam pemandu GrabCar. Saya risau ada orang melihat ini dari sudut perbuatan jenayah antara Melayu dan Cina. Pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada ia melihatkan elemen kebencian terhadap orang bukan Islam sehingga sanggup berbuat perkara itu.

“(Dengan perwatakan berkopiah) Ia merosakkan imej Islam hingga memperlihatkan wajah agama ini jadi hodoh,” katanya yang ketika ini sedang berkempen membantu jentera parti dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman,” katanya.

Mohd Zawawi mengulas mengenai perbuatan seorang lelaki yang mengugut untuk melakukan perbuatan jenayah terhadap Perdana Menteri dengan menawarkan hadiah kononnya sebanyak RM5 juta.

Pada 26 November lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis bagi menggesa tindakan tegas terhadap pengguna media sosial yang melakukan ugutan jenayah tersebut.

Hasil beberapa laporan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berjaya menahan dua individu secara berasingan di kawasan Kota Bharu, Kelantan selepas mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Agong serta ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik sebagai berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 37 dan 34 tahun masing-masing dicekup di negeri itu pada 26 November dan semalam.

Suspek pertama disyaki pemilik Facebook ‘Cik Mat Cik Po’ ditangkap pada Ahad di kawasan Kota Bharu kerana memuat naik komentar kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama empat hari hingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.


No comments: