DR AHMAD SAMSURI CALON PM, JANGAN GUNDAH TAPI JANGAN AMBIL MUDAH



 Berikutan kemenangan besar Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam PRK Kemaman Sabtu lalu, lebih ramai yang ghairah bercakap mengenai dirinya sebagai bakal Perdana Menteri.

Bagaimanapun, dua perkara harus difahami terlebih dahulu sebelum perkara itu dibicarakan dengan lebih lanjut.

Pertama, penonjolan Dr Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri bukanlah kerana majoriti sebesar 37,220 yang diperolehinya.

Jumlah majoriti itu tiada kaitan sama sekali dengan kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri, bahkan mana-mana Ahli Parlimen yang menang dengan satu undi sekali pun, jika mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, adalah layak memegang jawatan tersebut.

Sebab utama Pas meletakkan namanya tentulah kerana kewibawannya sebagai pemimpin, kemampuan serta kelayakan akademik yang dimilikinya yang dirasakan paling baik daripada semua Ahli Parlimen yang dalam PN sekarang ini.

Ditambah dengan beliau tiada isu peribadi, masih muda, berwajah manis serta sentiasa tersenyum, maka tentulah Pas merasakan ia suatu kelebihan jika “dipasarkan” sebagai calon Perdana Menteri.

Yang kedua, meskipun Dr Ahmad Samsuri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, beliau tidak mungkin boleh menduduki kerusi tersebut dalam waktu terdekat ini.

Dengan PN hanya tinggal ada 69 Ahli Parlimen saja lagi ketika ini, daripada mana mereka nak cekau angka tambahan untuk mencukupkan jumlah sekurang-kurangnya menjadi 112?


Paling awal Dr Ahmad Samsuri boleh dipertaruhkan untuk menjadi Perdana Menteri hanyalah pada PRU16 akan datang, iaitu kira-kira empat tahun daripada sekarang.

Dalam hal ini, keghairahan beberapa pemimpin Bersatu yang mahu UMNO mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan berikutan keputusan PRK Kemaman, jika diteliti itu sebenarnya bukanlah untuk menobatkan Dr Ahmad Samsuri sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, seruan dan desakan itu lebih bertujuan untuk menaikkan semula Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

Takkanlah UMNO sedia berbuat demikian, sedangkan sebelum ini parti itu juga yang menjatuhkan Mahiaddin daripada kerusi Perdana Menteri.

Untuk itu, lebih baiklah Bersatu berhenti daripada terus menggesa UMNO meninggalkan kerajaan perpaduan kerana tiada sebab untuk parti itu mengkaji semula keberadaannya dalam kerajaan perpaduan.

Malah, jika dengan menarik sokongan itu akhirnya Mahiaddin yang ada kes mahkamah dan menantunya lari ke luar negara yang akhirnya jadi Perdana Menteri, lagi taubat lahum tidak mungkin UMNO berbuat demikian.

Dengan demikian, kepada PH dan UMNO, janganlah gundah gulana dengan isu Dr Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri itu.

Ia lambat lagi untuk dihadapi detik pertarungannya.

Tetapi, meski masih lambat, jangan sesekali pandang mudah, goyang kaki dan tidak mula bekerja keras daripada sekarang.

Ini kerana, secara mata kasar, Dr Ahmad Samsuri ada kelebihan tertentu serta ada daya tarikan yang lebih baik berbanding Mahiaddin dan Hamzah, bahkan lebih mudah membuatkan orang tersentuh dengan kelembutan wataknya kalau dibandingkan dengan Hadi Awang atau Sanusi Mohd Nor.

Maka, PN khususnya Pas sudah pasti akan lebih memperhebatkan usaha menjaja nama beliau selepas ini sehinggalah PRU16 akan datang.

Di sinilah perlunya PH dan BN tidak berdiam diri, malah segala jentera parti, menteri-menteri, media, komunikasi dan sebagainya, mesti lebih cekap dan ligat mulai sekarang dalam peranan mempertahankan kerajaan sedia ada.

Jangan biarkan hanya Perdana Menteri seorang yang bekerja dan menangani semua perkara.

Kalau ambil mudah, memang tidak mustahil kerusi Perdana Menteri selepas ini akan jadi milik Dr Ahmad Samsuri akhirnya. – ShahbudinHusin 04/12/2023.