PERUNTUKAN PARLIMEN PERLU RUNDING BUKAN HAK MUTLAK




 Peruntukan parlimen tidak termaktub dalam undang undang dan pembangkang seharusnya merundingkan hal berkenaan dengan kerajaan memerintah.

Ketidaksudian pembangkang pada ketika ini merundingkan peruntukan parlimen sehingga menyebabkan 4 wakil rakyat mereka berpaling menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar adalah sesuatu yang wajar.

Katanya, sebelum ini, ketika PN dan BN memerintah mereka sendiri meletakkan syarat tertentu sebelum Pakatan Harapan boleh mendapatkan peruntukan berkenaan.

“Sebelum ini PH boleh membuat perjanjian dengan mereka (PN) ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri dan ketika itu Mahiaddin dan Abdul Hadi ada dalam kerajaan.

“Tetapi mengapa sekarang mereka tidak boleh berbuat begitu juga (sekarang). Ini adalah sikap ego dan sombong mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sedangkan, tambah Mahfuz, sokongan kepada Perdana Menteri langsung tidak menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang atau parti pembangkang dianggap keluar parti atau terlucut jawatan sebagai wakil rakyat.

“Jadi ini menunjukkan PN hanya mementingkan politik dan bukannya kepada rakyat. Mereka menganut faham demokrasi yang mengetepikan kepentingan rakyat,” kata Mahfuz lagi.

Dalam sesi Parlimen sebelum ini, Anwar memberikan jaminan akan meluluskan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang setelah diadakan rundingan dengan pihak kerajaan.

PM meminta agar pembangkang mengadakan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung permohonan peruntukan di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik sebagai berkata, mereka bakal menghentikan rundingan atau permohonan peruntukan untuk kawasan dengan Fadillah.

Beliau memberikan alasan pembangkang tidak sepatutnya menulis surat kepada kerajaan dengan jaminan tertentu dan tandatangan memorandum persefahaman (MoU).

Bagaimanapun, tindakan empat ahli parlimen pembangkang itu tidak menyebabkan mereka terlucut jawatan wakil rakyat kerana sokongan kepada Perdana Menteri tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti yang telah dikuatkuasakan sejak Oktober tahun lalu.

Susulan itu, menyebut Mahiaddin menggesa supaya Akta Anti Lompat Parti dikaji semula berikutan terdapat kelemahan susulan tindakan empat ahli parlimen parti itu menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri namun kekal bersama parti.

Pada 7 November lalu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Labuan bagi tempoh enam tahun.

Sebelum ini, Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Iskandar Dzulkarnain dalam parti itu selama empat tahun.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor turut dipetik sebagai berkata, parti berkenaan sedang mengambil tindakan disiplin terhadap Mohd Azizi dan Zahari.



No comments: