SIDANG MEDIA DR AGUS DAN WAHAB MENIMBULKAN LEBIH BANYAK PERSOALAN DARIPADA MEMBERI JAWAPAN


Sebagaimana didesak dan diminta banyak pihak, bekas Ketua Pengarah J-Kom, Prof Dr Mohd Agus Yusof akhirnya tampl mengadakan sidang media malam tadi berkaitan video tular melibatkan dirinya.


Selain membuat laporan polis berkenaan penyebaran video berkenaan, Dr Agus turut menampilkan seorang lelaki bernama Wahab yang merupakan rakan bualnya dalam video mengasyikkkan itu.


Namun, berbanding memberi jawapan, sidang media malam tadi lebih banyak menimbulkan persoalan yang terus tergantung di awang-awangan tanpa jawapan.


Secara keseluruhannya, apa yang penting sebagai kesimpulan daripada penjelasan Dr Agus dan Wahab dalam sidang media malam tadi ialah video yang tersebar itu adalah tulen, asli dan benar-benar suatu kejadian yang pernah berlaku.


Video itu disahkan bukanlah edit dan bukan juga ciptaan hasil teknologi AI atau kecerdasan buatan manusia sebagaimana heboh diperkatakan sebelum ini.


Cuma, yang dikatakan tidak asli dan disunting adalah audio atau suara perbualannya.


Dr Agus dan Wahab mendakwa, audio dalam video berkenaan telah diedit sepenuhnya apa yang didengar dalam video itu bukanlah perbualan sebenar mereka.


Wahab sendiri mengaku beliaulah yang merakam perbualan berkenaan dan hanya menyerahkan rakaman tanpa suara kepada Mr H yang didakwa memainkankan peranan di sebalik penyebaran video berkenaan.


Di sinilah timbulnya banyak persoalan yang barangkali Dr Agus perlu mengadakan sidang media sekali lagi.


Jika benar hanya rakaman tanpa suara yang diserahkan kepada Mr H, tidakkah ini bermakna Wahab telah gagal melakukan tugas yang sempurna sebagaimana telah diarahkan?


Di mana logiknya Mr H sedia menerima rakaman video tanpa suara jika benar niat rakaman itu dilakukan untuk menjatuhkan Dr Agus?


Selain itu, jika suara dalam video itu merupakan hasil suntingan dan rekaan, tentulah penulis skrip bagi video itu seorang yang benar-benar hebat kerana mampu menyesuaikannya dengan gerak bibir dan ekspresi wajah Dr Agus ketika berbual dengan Wahab itu?


Tambahan lagi, Dr Agus pula dilihat bercakap dengan sedikit slang Kelantan dalam perbualan itu.


Apakah penulis skripnya juga orang Kelantan?


Seterusnya, bolehkah Dr Agus dan Wahab menjelaskan secara jujur apakah topik perbualan sebenar mereka berdua dalam video yang diakui tulen itu yang turut ditunjukkan sama antaranya beg LV, hidangan buah-buahan dan sepiring gajus?


Mereka berbual pasal kerja atau berkenaan hal-hal lain?


Terakhir, bolehkah Wahab mendedahkan kepada orang ramai rakaman video asal yang ada suara atau menyerahkannya kepada pihak polis ketika siasatan nanti?


Dalam hal ini, jangan lupa, selain Wahab yang melakukan rakaman, malaikat pun turut sama merakam juga.


Jadi, lebih baiklah berlaku jujur demi ketenangan hidup di dunia yang sementara ini.


Turut didakwa dalam sidang media itu ialah komplot ini kononnya dilakukan untuk menjatuhkan Dr Agus yang turut didalangi pihak-pihak lain.


Dr Agus malah mengakui mereka yang terbabit itu adalah mereka yang dikenalinya.


Soalnya perlukah Dr Agus dijatuhkan dengan cara mainan sedemikian rupa?


Hebat sangatkah dia dan apakah dia terlalu bagus mengetuai J-Kom selama hampir setahun memegang jawatan tersebut?


Bukankah beliau hanya pemegang jawatan lantikan yang tempohnya memegang jawatan hanya dua tahun saja?


Tidak bolehkah mereka yang didakwa mahu menjatuhkannnya itu menunggu saja kontraknya habis?


Seorang teman mengulas…barang dah nak jatuh, buat apa nak dijatuhkan lagi? – ShahbudinHusin 18/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/18/sidang-media-dr-agus-dan-wahab-menimbulkan-lebih-banyak-persoalan-daripada-memberi-jawapan.html