SIMPAN PUN TAK GUNA, LEBIH BAIK BERSATU PECAT SEGERA DUA AHLI PARLIMENNYA YANG KINI SOKONG ANWAR


Sehingga ini sudah dua Ahli Parlimen blok pembangkang mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Kedua-duanya adalah daripada Bersatu – Iskandar Dzulkarnanin Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).


Meski berada di blok yang berbeza, sokongan yang mereka berikan kepada Anwar selaku Perdana Menteri tidak bercanggah dengan akta lompat parti kerana mereka tidak keluar parti dan tidak juga melompat menyertai parti lain.


Kedua-duanya masih ingin kekal sebagai ahli Bersatu, malah mengatakan akan tetap taat dan setia kepada parti itu.


Yang menyebabkan mereka memberi sokongan kepada Perdana Menteri hanya kerana berharap dengan sokongan yang diberikan itu, peruntukan kewangan daripada kerajaan diberikan kepada mereka sebagai Ahli Parlimen blok pembangkang.


Kononnya, tanpa peruntukan daripada kerajaan, tugas menjaga kawasan dan memberi bantuan kepada pengundi menjadi kerja yang amat payah.


Lalu, sebab itulah mereka memilih untuk menyokong kerajaan, waima berada di blok pembangkang.


Walaupun tindakan kedua-dua Ahli Parlimen itu tidak bertentangan dengan akta lompat parti, namun ia sudah tentu salah daripada segi moral, etika, kejujuran, harga diri dan janji kepada parti serta pengundi ketika mereka bertanding dahulu.


Sebab itu, Iskandar Dizulkarnain sudah pun diberikan surat tunjuk sebab oleh Bersatu dan banyak pihak dalam parti itu membayangkan dua kemungkinan hukuman bakal diterimanya iaitu sama ada dipecat atau digantung keahlian.


Sementara Iskandar Dzulkarnan sudah diberikan surat tunjuk sebab, Suhaili juga padti akan menerima surat yang sama tidak lama lagi.


Dalam hal ini, hukuman apakah yang patut dan paling sesuai dikenakan kepada kedua-dua Ahli Parlimen yang berpaling arah itu?


Apa yang nyata, dengan apa yang dilakukan oleh Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili ini, terbukti akta lompat parti masih ada kelemahan yang membolehkan seseorang Ahli Parlimen memberi sokongan yang berbeza dengan pendirian parti.


Kelemahan tersebut menyerlahkan hakikat bahawa bukan saja Ahli Parlimen blok pembangkang boleh menyokong kerajaan, tetapi Ahli Parlimen kerajaan juga boleh menyokong pembangkang kiranya ada gerakan menebuk atap atau usaha untuk menjatuhkan kerajaan.


Berbalik kepada kes Kuala Kangsar dan Labuan, kedua-dua mereka sebenarnya sudah tiada hati lagi kepada Bersatu dan PN.


Iskandar Dzulkarnain misalnya, sebaik saja mengumumkan sokongannya kepada Anwar, beliau terus menghilangkan diri dan tidak lagi dapat dihubungi.


Selain telefon bimbitnya sudah dimatikan dan sebarang teks pesanan tidak dijawab, beliau juga tidak hadir ke Parlimen sejak pengumumannya itu.


Begitu juga dengan Suhaili, beliau difahamkan turut mematikan telefon bimbitnya sejak semalam.


Semua tindakan itu menunjukkan mereka sebenarnya sudah tiada hati dan tidak berminat lagi untuk kekal dalam Bersatu dan PN.


Ungkapan ingin terus kekal dan tetap setia dengan Bersatu yang dilafazkan bersama pengumuman mengalih sokongan kepada Anwar itu tidak lebih sekadar kata-kata pemanis mulut semata-mata.


Dengan itu, bukan saja memujuk mereka sudah tiada gunanya, menggantung keahlian mereka dan mengekalkannya dalam blok pembangkang juga tidak lagi memberi apa-apa makna.


Hati, jiwa dan kesetiaan mereka sudah beralih kepada kerajaan yang mampu memberikan peruntukan berbanding parti yang sebelum ini memberi mereka peluang bertanding.


Baik dipecat saja dengan segera kedua-duanya dan dengan itu, mereka selepas ini bebas sama ada untuk kekal tidak berparti atau menyertai mana-mana parti yang ada dalam blok kerajaan.


Disimpan pun sudah tidak berguna, lagi pula mereka sudah tidak diperlukan oleh mana-mana parti dalam PRU16 akan datang nanti. – ShahbudinHusin 31/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/10/31/simpan-pun-tak-guna-lebih-baik-bersatu-pecat-segera-dua-ahli-parlimennya-yang-kini-sokong-anwar.html



No comments: