SUDAH DUA AHLI PARLIMEN BERSATU SOKONG ANWAR, SEMUA INI SALAH MAHIADDIN…

 

Hanya kira-kira dua minggu selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnan Abdul Khalid daripada Bersatu mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim pada 12 Oktober lalu, kini seorang lagi wakil rakyat parti itu berbuat demikian.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen kedua daripada Bersatu dan PN yang mengumumkan pendirian menyokong Anwar.

Tidak jauh berbeza dengan Iskandar Dzulkarnain yang memberi alasan perlukan peruntukan dan kesukaran dalam memberi khidmat kepada rakyat di kawasannya sebagai alasan mengalih sokongan kepada Anwar, Suhaili pula membangkitkan rintihan berterusan daripada pengundi dan keperluan mendesak untuk membantu mereka sebagai asas keputusan yang diambilnya ini.

Tambahan lagi, menurut Suhaili, rakyat Labuan sudah lama merintih akibat berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, selain masalah bekalan air dan elektrik yang berlarutan sejak hampir 15 tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian.

Begitu pun, sama seperti Iskandar Dzulkarnain, Suhaili juga mengumumkan beliau akan tetap taat dan setia kepada Bersatu, selain ingin terus kekal menjadi ahli parti tersebut.

Iskandar Dzulkarnain sudah pun diberi surat tunjuk sebab dan dalam hal ini, Suhaili bersedia berdepan apa juga risiko dan tindakan disiplin daripada Bersatu.

Menoleh ke belakang, keputusan Suhaili ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang amat mengejutkan kerana saya sudah pun menulis mengenainya pada 15 Oktober lalu, tiga hari selepas Iskandar Dzulkarnain mengumumkan sokongannya kepada Anwar.

Dalam tulisan tersebut, berdasarkan maklumat yang saya perolehi, didapati isu peruntukan bukanlah cerita dongeng dan ia benar-benar merupakan hambatan yang meresahkan bagi Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang ketika ini.

Dengan itu, dinyatakan jika PN terus keras hati dan degil untuk datang berbincang dengan kerajaan, saya dengan jelas menyebut bahawa ada beberapa Ahli Parlimen lain lagi akan mengambil langkah sama seperti Iskandar Dzulkarnanin.

Tulisan itu boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2023/10/15/isu-peruntukan-bukan-cerita-dongeng-beberapa-ahli-parlimen-pn-dijangka-ikut-langkah-mp-kuala-kangsar.html

Jika saya pun boleh dapat maklumat berkenaan, mustahil pimpinan Bersatu dan PN tidak mengetahuinya.

Dalam hal ini, berikutan PN sehingga kini masih lagi keberatan, degil dan keras hati untuk datang berbincang dengan kerajaan bagi membincangkan soal peruntukan yang diperlukan itu, tindakan dua Ahli Parlimen ini tidak lain adalah salah Mahiaddin Md Yasin.

Selaku Pengerusi PN dan ketua blok pembangkang, Mahiaddin harus membuang ego dan keras hatinya untuk gabungan itu datang berbincang dengan kerajaan.

Demi kepentingan rakyat, beliau wajar mencontohi Anwar yang ketika mengetuai PH dan menjadi Ketua Pembangkang, telah sanggup datang bertemu Perdana Menteri pada waktu itu, Ismail Sabri Yaakob sehingga terwujudnya MOU antara kerajaan dengan pembangkang, disusuli dengan semua Ahli Parlimen pembangkang akhirnya diberikan peruntukan tahunan bagi kawasan masing-masing.

Jika Mahiaddin rasa malu, cukup atas kapasitinya sebagai ketua blok pembangkang untuk beliau membuat kenyataan media saja berkenaan dengannya dan kemudian biarlah Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang mengadakan perbincangan dengan Fadilah Yusoff, Timbalan Perdana Menteri yang telah diberi tugas oleh Anwar untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Malah Anwar pernah menyebut – hari ini selesai perbincangan dengan Fadillah, esok peruntukan akan segera disalurkan.

Maka, nak tunggu apa lagi?

Lagi pula, sebarang usaha untuk menebuk atap dan menjatuhkan kerajaan sudah jadi perkara mustahil sekarang ini, melainkan kena tunggu ketibaan PRU16 saja untuk berbuat demikian, tetapi kenapa masih mahu diseksa Ahli-Ahli Parlimen dengan kesengsaraan empat tahun lagi menjalankan kewajipan tanpa peruntukan?

Atau Mahiaddin tak kisah melihat lebih ramai lagi Ahli Parlimen PN bertindak seperti Kuala Kangsar dan Labuan selepas ini? – ShahbudinHusin 30/10/202


No comments: