Memalukan PBB gagal lulus gencatan senjata di Gaza - ABIM









 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) meluluskan usul gencatan senjata dalam perang Israel - Palestin yang memasuki minggu ketiga.


Menurut Presiden ABIM, kegagalan PBB menangani usul berkenaan memberi isyarat tidak baik terhadap tahap kemanusiaan ditunjukkan oleh anggota Majlis Keselamatan.


"ABIM menegaskan usul yang dibawa Rusia untuk menetapkan resolusi gencatan senjata gagal dicapai adalah sesuatu yang amat memalukan.


"Dalam laporan PBB menyatakan kegagalan tersebut disebabkan kegagalan usul mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan negara anggota Majlis Keselamatan PBB.


"Dalam undian yang dibuat, usul tersebut hanya diterima oleh empat negara anggota iaitu Rusia (pembawa usul), China, Gabon, dan UAE," katanya dalam kenyataan hari ini.


Usul gencatan senjata tersebut, menurut Faisal, ditolak oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala sembilan negara anggota memutuskan untuk berkecuali iaitu Albania, Brazil, Ecuador, France, Ghana, Japan, Malta, Mozambique, Switzerland.


Dengan gagalnya usul berkenaan, akan menyukarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dan bakal meninggalkan penduduk awam dalam keadaan tanpa bekalan perubatan serta makanan yang cukup.


"ABIM menegaskan krisis kemanusiaan di Gaza khususnya hari ini kian memuncak, memasuki hari ke dua puluh dengan catatan kematian penduduk Gaza mencecah 7,000 korban yang melibatkan kanak-kanak, wanita serta orang tua.


"Maka, ABIM menegaskan semua pihak harus meletakkan nilai kemanusiaan di hadapan sebagai jalan menyelamatkan nyawa masyarakat awam dengan menolak kepentingan mana-mana blok politik," katanya.


Kegagalan itu, kata Faisal, juga akan memberi kesan besar kepada kestabilan politik sejagat kerana kegagalan PBB berperanan di pentas politik antarabangsa melibatkan kuasa kuasa besar.