SUBSIDI BERSASAR BERI KEUTAMAAN KEPADA GOLONGAN LAYAK




 Strategi kerajaan untuk penyasaran semula subsidi pada tahun hadapan dilihat penting bagi memastikan hanya golongan yang layak diberi keutamaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH – Johor Bahru), berkata langkah penyasaran itu dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara selain meningkatkan bekalan makanan negara.

“Terdapat usaha meningkatkan bekalan dan jaminan makanan untuk rakyat berhadapan dengan impak jangkaan inflasi sekitar 2.1 peratus hingga 3.6 peratus pada tahun 2024.

“Oleh itu, kita lihat usaha kerajaan melaksanakan inisiatif usahawan tani (INTAN) yang bertindak sebagai serampang dua mata bagi memastikan kumpulan sasaran mempunyai pendapatan mencukupi.

“Justeru, kita kena pastikan bekalan untuk tahun hadapan adalah lebih terjamin,” katanya menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH – Batu Pahat) pada Waktu Pertanyaan Menteri Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mewakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang ketika ini sedang mendapatkan rawatan selepas dilaporkan mengalami masalah jantung.

Dalam pada itu, mengenai peningkatan harga barangan meskipun Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun ke 2%, Akmal berkata, ia hanya melibatkan barangan tertentu.

“Masih terdapat kumpulan yang mencatatkan peningkatan termasuk pakaian dan kasut serta minuman beralkohol dan tembakau.

“Secara dasarnya, penyederhanaan inflasi bukan bermaksud penurunan paras harga, tetapi merujuk kepada peningkatan harga barangan pada kadar yang lebih perlahan.

“Inflasi terkawal pada kadar dua hingga tiga peratus amat penting bagi ekonomi sesebuah negara untuk terus berkembang,” ujar Akmal.

Jelasnya, Malaysia pernah berhadapan dengan catatan deflasi 1.2 peratus ketika pandemik 2020 namun mengakibatkan kesejahteraan ekonomi terjejas.

“Ia berlaku ekoran penurunan gaji dan upah serta pemberhentian pekerja disebabkan pengeluar syarikat tidak dapat menampung kos operasi atau menjual perkhidmatan,” katanya.