Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Dalam amalan demokrasi, semua orang bebas bersuara dan mengkritik apa sahaja yang dirasakan tidak kena.
Terutama apabila berkaitan pemimpin atau mereka yang ada kedudukan dalam parti, kerajaan atau pertubuhan.
Bagi seseorang pemimpin, mengkritik mereka adalah lumrah dan ramai yang boleh menerima dengan lapang dada demi kebaikan.
Hakikatnya, pemimpin perlu ditegur dan dikritik apabila terlihat melakukan sesuatu yang tidak bersesuaian, apalagi jika bercanggah dengan peraturan atau norma kehidupan.
Tujuan mengkritik atas nama kebebasan bersuara adalah semata-mata agar seseorang pemimpin itu sentiasa berhati-hati, sifar kesalahan atau tidak mengulanginya andai kata telah melakukan sesuatu yang salah.
Fitnah Dr Wan Azizah bersama isteri PM Israel
Minggu lalu, seiring dengan tercetusnya konflik perang antara Palestin dan Israel yang kemudian disusuli dengan kegigihan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusahakan perdamaian, baik di dalam negara dan kemudian sewaktu melakukan lawatan ke Arab Saudi, Turkiye serta Mesir, tiba-tiba Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi sasaran kritikan sesetengah pihak, kononnya beliau tidak sensitif terhadap derita rakyat Palestin.
Ia berikutan tersebarnya gambar beliau bersama isteri beberapa pemimpin dunia, termasuk ada di dalam gambar berkenaan adalah isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu.
Tanpa usul periksa dan tanpa menyemak fakta, ramai yang berkongsi serta menyebarkan gambar tersebut beserta keterangan yang mengkritik isteri Perdana Menteri itu.
Dr Wan Azizah dikritik lantaran digambarkan tidak sensitif dengan derita rakyat Palestin kerana dilihat sudi bergambar dengan Sara Netanyahu dan lebih parah lagi, beliau dipotretkan seolah-olah mempunyai pendirian yang kontras dengan suaminya sendiri iaitu Anwar.
Tanpa menyemak fakta, kritikan terhadap Dr Wan Azizah berkaitan gambar itu memang sesuatu yang boleh diumpamakan seperti “lauk yang sangat enak untuk dinikmati”.
Tetapi, setelah disemak fakta, mengaitkan gambar tersebut dengan konflik yang berlaku di Palestin adalah terang-terangan suatu fitnah yang nyata.
Kebebasan bersuara disalah guna
Ini kerana gambar itu diambil di New York ketika Perhimpunan Agung Tahunan PBB (UNGA) pada 21 September lalu, manakala konflik di Palestin hanya berlaku mulai 7 Oktober,
Dr Wan Azizah waktu itu mengiringi Anwar yang berucap di UNGA dan gambar itu ialah ketika isteri ketua-ketua kerajaan seluruh dunia diraikan oleh isteri Presiden Amerika Syarikat dalam satu jamuan makan malam.
Sudah tentu gambar itu tiada kaitan dengan konflik di Palestin dan menggunakan kebebasan bersuara untuk mengkritik Dr Wan Azizah sama sekali tindakan yang tidak kena.
Yang kena dengan perbuatan itu ialah ia merupakan suatu fitnah yang boleh mendatangkan dosa besar.
Oleh itu, sebelum mahu mengkritik atau mengviralkan sesuatu perkara, yang penting sekali adalah semak fakta terlebih dahulu.
Jika salah fakta, ia merupakan suatu fitnah walaupun dilakukan atas nama kebebasan bersuara.
Bebas untuk bersuara sama sekali tidak bermakna bebas untuk melakukan fitnah.
Fitnah tetap fitnah dan tidak menjadi halal atas nama kebebasan bersuara.
Diharap mereka yang membuat fitnah yang terlampau terhadap Dr Wan Azizah ini diambil tindakan oleh pihak berwajib sebagai satu pengajaran kepada orang lain.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat