Isu Palestin sengaja dijadikan rumit oleh para pelobi Yahudi terutama ke atas negara kuasa besar Barat yang dipengaruhi untuk bersimpati terhadap kekejaman Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua membunuh jutaan kaum Yahudi di Eropah.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, peristiwa Holocaust selamat 4 tahun itu telah diperguna oleh Zionis Israel sebaik baiknya untuk melindungi dan mengabui mata dunia ke atas keganasan mereka terhadap rakyat Palestin.
“Apabila orang tanya saya isu Palestin, saya kata ia tidak sukar. Isu Palestin saya boleh rumuskan, Zionis menceroboh bumi Palestin, merampas tanah rakyat Palestin dan kemudian memaksa seluruh dunia menerima hakikat penjajahan (mempertahankan diri) rejim Zionis.
“Itulah kesimpulan kepada isu Palestin. Ada orang yang kononnya bersimpati menyokong Zionis dengan alasan Yahudi menjadi mangsa holocaust tahun 1941 – 45, tetapi saya nak beritahu, kita simpati dengan kaum tertindas di mana mana tetapi jangan lupa kalau Yahudi ditindas holocaust 4 tahun tetapi rakyat Palestin ditindas holocaust Zionis selama 75 tahun sejak 1948,” katanya dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. .
Lebih buruk, tegas Steven Sim, holocaust Zionis bukan sahaja membunuh rakyat Palestin tetapi menyebabkan perekonomian bangsa itu musnah sama sekali dengan perampasan tanah, pemusnahan tanaman serta kawasan yang dijadikan zon ketenteraan oleh Israel.
“Oleh sebab holocaust, bukan sahaja rakyat Palestin terkorban nyawa setiap hari. Sekatan ke atas Tebing Barat rakyat Palestin dirompak RM16 bilion setahun.
“Bersamaan (belanjawan) 11 negeri di Malaysia campur Kuala Lumpur.
“Sejak tahun 1967 lebih kurang sejuta pokok zaitun milik petani, peladang Palestin dimusnahkan rejim Zionis.
“Saya tidak mampu pergi berperang ke Palestin tetapi setiap tahun saya beli produk Palestin, minyak zaitun, buah kurma dari kawan kawan Palestin.
“Kita sokong beli produk bumi Palestin,” laungnya disambut tepukan bergemuruh.
Steven Sim juga mengimbau ucapan bermakna supremo DAP, Tan Sri Lim Kit Siang pada 1975 di Dewan Rakyat yang berkata revolusi Palestin ialah perjuangan yang perlu didukung oleh semua rakyat Malaysia tidak mengira agama atau bangsa.
“Saya kata, saya menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin,” katanya lagi.