Masanya Malaysia terima pelarian Palestin




 Malaysia seharusnya menerima pelarian Palestin sebagaimana negara ini pernah menerima pelarian daripada Syiria dan Bosnia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan, Wong Chen, walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967, namun sejarahnya negara telah menerima pelarian Vietnam secara sukarela pada 1970-an, pelarian muslim Moro dan pelarian Cham pada 1980-an, pelarian Bosnia pada 1990-an, serta pada 2015 pelarian Rohingya dan pelarian Syria.



Katanya, jumlah pelarian yang akan diterima pula boleh mengambil contoh jumlah pelarian dari negara Islam sebelum ini yang diterima Malaysia.



"Jadi, jika kabinet bersetuju untuk mengambil pelarian Gaza, berapa ramai yang perlu kita ambil? Berapakah bilangan pelarian yang sesuai yang kita mampu tampung?



"Kita tidak boleh menggunakan jumah Vietnam, Moro, Cham atau Rohingya sebagai panduan, kerana ini sebahagian besarnya pelarian yang datang ke sempadan kita dari negara jiran.



"Sebaliknya, kita harus menggunakan bilangan pelarian Bosnia dan Syria sebagai panduan.



"Jadi berapakah jumlahnya? Malaysia telah menerima 350 pelarian Bosnia pada tahun 1992 dan 3,000 pelarian Syria pada tahun 2015. Jadi, saya mengatakan jika Malaysia memutuskan untuk mengambil pelarian Gaza, ia mungkin akan menjadi sekitar 1,000 hingga 2,000 orang," katanya dalam kenyataan.



Menurut Wong Chen lagi, tekanan ekonomi dalam negara tidak boleh dijadikan alasan menghalang Malaysia menerima pelarian.



Ujarnya, sebahagian penduduk Palestin adalah berpendidikan dan mereka boleh bekerja untuk menyara kehidupan.



"Jika kita memeriksa dan membawa masuk pelarian dari kelas profesional, seperti jurutera, dan membolehkan mereka bekerja di Malaysia, mereka akan dapat membayar untuk menyara hidup sendiri, malah menyumbang secara positif kepada ekonomi kita," katanya.



Bagaimanapun Ahli Parlimen Subang itu agak kecewa kerana ramai golongan terpelajar tidak memahami erti menyediakan tempat perlindungan kepada pelarian.



Katanya, ianya tidak sama seperti memberikan kewarganegaraan atau pemastautin tetap kepada pelarian tetapi memberi mereka perlindungan sementara sangat penting. Selepas perang tamat dan keadaan menjadi normal, jelasnya, pelarian akan dihantar pulang. Itulah norma antarabangsa mengenai perkara pelarian.



"Saya dapati kebanyakan komen negatif diwarnai oleh prasangka politik dan perkauman yang teruk, terutamanya terhadap rakyat Timur Tengah.



"Jika Malaysia mengambil pelarian, kita tidak akan menerima pejuang (kumpulan bersenjata) tetapi yang paling terdedah, wanita dan kanak-kanak," katanya lagi.



Hujah bersama pelarian akan ada puak bersenjata dan menjadikan Malaysia sebagai pengkalan masa hadapan bagi Wong Chen adalah prasangka semata mata dan hal itu tidak boleh dijadikan alasan menolak pelarian.



 

No comments: