HADI YANG TAK SEDAR DIRI…


Presiden Pas, Hadi Awang nampaknya menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan dengan menggunakan alasan pemimpin yang ada di dalamnya terlalu kotor dan tidak boleh dibersihkan.


“Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH), siapa dalam dia… nak suci macam mana?


“Banduan pun ada, bekas perasuah pun ada, kluster mahkamah pun ada… macam mana kami nak ikut?


“Kalau kita nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis,” kata beliau ketika sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-69 di IDCC, Shah Alam, semalam.


Banduan yang dirujuk Hadi dalam kenyataannya itu tentulah ditujukan kepada Anwar Ibrahim, sementara bekas perasuah pula pastinya berkaitan Zahid Hamidi yang kini dilepas tapi tak dibebaskan dalam kes rasuah berkaitan dana Yayasan Akalbudi.


Melihat apa yang dinyatakan Hadi dalam sidang media itu, ternampak beliau hanya melihat kekotoran di pihak kerajaan semata-mata, tetapi tidak di dalam gabungan PN yang disertai Pas sendiri.


Pertama, apa masalahnya jika bekas banduan jadi pemimpin negara?


Selain Anwar sudah diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong, kalau disingkap sejarah pula, bukan saja ramai pemimpin dunia pernah di hukum penjara sebelum beroleh kuasa, malah tokoh pejuang Islam sendiri pun ramai yang pernah menjadi banduan?


Kedua, Hadi juga jangan tidak nampak bahawa dalam PN sendiri ada beberapa pemimpinnya sudah pun bergelar kluster mahkamah ketika ini atas pelbagai kesalahan yang perlu dibicarakan.


Antaranya ialah Pengerusi PN sendiri, Mahiaddin Md Yasin, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor.


Yang sedang disiasat kerana terkait rasuah pun masih ada lagi


Dengan itu, janganlah Hadi “perasan sangat” seolah-olah Pas dan PN begitu bersih berbanding pemimpin dalam kerajaan.


Ketiga, Hadi juga tidak harus lupa dengan keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan calon parti itu bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman yang didapati wujudnya unsur-unsur rasuah sehingga perlu diadakan pilihan raya kecil semula.


Tidakkah ia menunjukkan Pas sendiri turut tercemar dengan amalan rasuah?


Berikutan sikap Hadi ini, diharap Anwar berhenti terus daripada cuba berbaik atau mahu menjalinkan sebarang kerjasama dengan parti itu.


Pas tidak akan berubah sampai bila-bila dan Hadi akan sentiasa jadi pemimpin yang tidak sedar diri. – ShahbudinHusin 21/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/10/21/hadi-yang-tidak-sedar-diri.html