APA KATA TUN M ISI BORANG KEAHLIAN PAS TERLEBIH DAHULU?



Presiden Pas, Hadi Awang semalam menolak kemungkinan parti itu akan meletakkan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon pada PRK Kemaman, 2 Disember depan.


Kata beliau, tak munasabah untuk Pas berbuat demikian.


“Kalau nak timbulkan isu biar munasabah,” ujar beliau.


Begitu pun kenyataan Hadi itu agak tidak disenangi oleh penyokong Tun Mahathir.


Antaranya, Presiden Putra, Ibrahim Ali yang tampil membidas kenyataan Hadi itu.


Ibrahim mempersoalkan jika faktor usia menjadi ukuran tidak sesuai dijadikan calon di Kemaman, mengapa bekas Perdana Menteri itu dilantik sebagai penasihat empat kerajaan negeri yang ditadbir Pas (SG4)?


Malah katanya, jika faktor usia diambil kira, Hadi juga perlu memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Pas.


“Presiden Pas telah membuat kenyataan menolak bulat-bulat cadangan Tun Mahathir sebagai calon Parlimen Kemaman dengan alasan tidak munasabah.


“Agak terkejut juga saya alasan yang diberi Hadi itu.


“Apa yang dikatakan tidak munasabah? Apakah kerana umur atau Tun Mahathir tidak layak?


“Jika kerana umur, maka Hadi juga kena beri laluan jawatan Presiden PAS kepada pihak yang lebih muda kerana umurnya sudah lanjut dan sudah bertongkat, sementara Tun Mahathir belum lagi bertongkat dan cergas bergerak ke sana sini.


“Jika Tun Mahathir tidak munasabah dicalonkan untuk Parlimen Kemaman, apakah munasabah beliau dilantik sebagai penasihat SG4?” soal Ibrahim lagi.


Walaupun Hadi dilihat menolak Tun Mahathir, tetapi sebenarnya Pas belum membuat keputusan muktamad lagi.


Peluang masih terbuka kerana Pas masih menilai siapa yang paling layak untuk dijadikan calon.


Memetik kata-kata Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Ceramah Perdana di Shah Alam malam tadi sempena Muktamar Pas, beliau menyebut – “Insya Allah calon Kemaman ialah daripada Pas”.


Tetapi, beliau tidak menyebut nama sesiapa yang akan dijadikan calon.


Dalam hal ini, apa kata Tun Mahathir segera mengisi borang keahlian Pas terlebih dahulu?


Meskipun menjadi ahli Pas bukanlah syarat wajib untuk dipilih sebagai calon mewakili parti itu – misalnya Ibrahim Ali sendiri pernah bertanding atas tiket Pas di Kelantan tanpa menjadi ahli – tetapi barangkali kedudukan Tun Mahathir agak berbeza sedikit.


Selain dikenali keras memusuhi Pas sebelum ini, Tun Mahathir juga pernah menuduh Pas sebagai parti kafir.


Tuduhan paling terbaru dibuat Tun Mahathir ialah pada September 2022 lalu – di sini – https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/09/1000959/pas-kini-parti-kafir-kata-tun-dr-mahathir


Dengan itu, barangkali jika Tun Mahathir sedia menjadi ahli Pas terlebih dahulu, tidak mustahil akan segera terbuka pintu hati Hadi untuk memilihnya sebagai calon di Kemaman nanti?


Tun Mahathir pun tidak berparti ketika ini, jadi apa salahnya memilih Pas untuk disertai?


Lagi pula, Tun Mahathir sendiri  pasti sedar, mana sedapnya main politik tanpa jadi ahli mana-mana parti? – ShahbudinHusin 22/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/10/22/apa-kata-tun-m-isi-borang-keahlian-pas-terlebih-dahulu.html



No comments: