Pelantikan dua peguam kanan wanita sebagai Peguam Cara dan Peguam Cara Negara II yang baharu membanggakan golongan wanita di negara ini.
Wanita KEADILAN Pusat menyifatkan pelantikan tersebut satu pengiktirafan kepada keupayaan wanita dalam bidang undang undang selepas pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum ini yang juga seorang wanita.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, pelantikan Datuk Almalena Sharmila Johan (gambar atas, kiri) yang dilantik sebagai Peguam Cara Negara dan Datuk Suzana Atan (gambar atas, kanan) sebagai Peguam Cara Negara II yang baharu, berkuatkuasa 2 Oktober 2023 amat mengujakan sayap Wanita KEADILAN.
"Pelantikan mereka ini memperlihatkan satu lagi pencapaian gemilang kaum wanita dalam sistem perundangan negara, setelah Tun Tengku Maimun Tuan Mat memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara sejak Mei 2019 lalu.
"Pelantikan dua wanita hebat yang menduduki jawatan tertinggi di Jabatan Peguam Negara adalah sangat dibanggakan serta menyuntikan semangat kepada wanita lain untuk turut melakar sejarah gemilang dalam kerjaya masing-masing.
"Ini juga membuktikan kemampuan kaum wanita di negara ini untuk diberi amanah menjawat jawatan penting sangat diyakini serta diiktiraf kredibiliti mereka," katanya dalam kenyataan.
Sayap wanita yang dipimpin Ketua Wanita KEADILAN, Fahdlina Sidek itu juga berharap dengan pelantikan tersebut akan memberi lebih rangsangan kepada wanita-wanita bekerjaya lain untuk terus berusaha mencapai kedudukan tertinggi dalam karier masing-masing.
"Bagi Wanita KEADILAN kedua-dua wanita berkenaan amat berkelayakan memegang jawatan yang diumumkan itu berdasarkan prestasi dan rekod kerja yang cemerlang selama ini di Jabatan Peguam Negara," kata Noraini lagi.
Semalam, Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengumumkan pelantikan Almalena Sharmila dan Suzana ke jawatan masing masing selaras dengan Arahan Pertukaran Pegawai Undang-Undang Bilangan 107 dan 108 Tahun 2023.
Almalena, yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai Peguam Cara yang baharu bagi menggantikan Datuk Ahmad Terrirudin yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Peguam Negara pada 6 September 2023.
Antara peranan penting Almalena di Jabatan Peguam Negara sebelum ini ialah bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mempertahankan kepentingan negara dalam isu tuntutan Kumpulan Sulu di Mahkamah Antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
Almalena juga terkenal sebagai penggubal yang sangat teliti dan kemas dalam menjalankan tugas berkaitan penggubalan undang-undang.
Pelantikan Suzana sebagai Peguam Cara II pula bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Almalena Sharmila.
Beliau adalah Peguam Kanan Persekutuan yang banyak mengendalikan kes-kes sivil, petisyen pilihanraya dan namanya juga tercatat dalam hampir semua kes berkaitan mempertahankan kerajaan.
Justeru, kata Noraini, Wanita KEADILAN mengucapkan selamat berkhidmat kepada Almalena Sharmila dan Suzana. Semoga dipermudahkan segala urusan dan terus menjalankan tugas dengan cemerlang serta mengharumkan nama negara.