Bangunkan semula industri gula elak kebergantungan import - Dr Azman



 



Oleh: Abdullah Zaid



Strategi Kerajaan Perpaduan untuk membangunkan semula industri tebu bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap gula mentah import yang berada pada tahap 100 peratus pada ketika ini wajar dipuji.

Menurut Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail selain isu beras, masalah kekurangan gula juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Jelasnya, faktor pandemik dan perubahan iklim dunia serta perang Rusia-Ukraine menjadi punca kenaikan harga makanan dunia yang meningkat secara mendadak. Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan kepada import.

"Saya difahamkan ada strategi dari segi meningkatkan (pengeluaran) gula tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kita kepada gula import.

"Seperti beras, faktor kekurangan gula berlaku akibat iklim, pandemik dan perang di timur Eropah. Cumanya isu gula tidak seteruk masalah beras yang mempunyai permintaan tinggi oleh pengguna," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Sebagai rekod, Malaysia bergantung sepenuhnya kepada gula import daripada Brazil apabila kerajaan merestui penutupan ladang tebu di Chuping, Perlis pada 2012 yang membekalkan tebu kepada kilang gula di negeri itu sejak puluhan tahun lamanya.

Tindakan tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih bagi memenuhi permintaan negara.

Justeru itu, pada 14 Mac lalu, Kementerian Ekonomi bercadang untuk membangunkan semula industri penanaman dan pemprosesan tebu bagi memenuhi permintaan domestik.

Dalam pada itu, Dr Azman juga mencadangkan agar kerajaan tidak bergantung kepada industri gula semata-mata. Sebaliknya mengembangkan lagi kepada tanaman alternatif gula seperti tumbuhan stevia yang boleh hidup subur dalam iklim tropika di Malaysia.

Katanya, produk stevia pada waktu ini banyak digunakan rakyat dan ianya baik untuk kesihatan.

"Penggunaan stevia serta lain-lain pemanis umumnya adalah lebih sihat berbanding gula," kata Dr Azman lagi.

 


No comments: