SELAIN KELANTAN, PILIHAN KEDUA TUN MAHATHIR DITAWAR BERTANDING ADALAH DI MELAKA


Berikutan artikel yang saya tulis semalam mengenai wujudnya rancangan untuk menjadikan Tun Mahathir Mohamad kembali sebagai Ahli Parlimen dengan meletakkan beliau bertanding di Kelantan selepas berakhirnya PRN ini, seseorang yang berada dalam “circle” Proklamasi Orang Melayu atau POM telah menghubungi saya melalui telefon.


Pada mulanya saya ingat dia ingin meluahkan rasa tidak puas hati dengan penulisan tersebut, tetapi rupa-rupanya mahu memberi maklumat tambahan.


Orang berkenaan berkata, apa yang saya tulis itu tidak berapa lengkap.


Lalu saya bertanya – yang lengkapnya bagaimana?


Beliau mengakui memang wujud rancangan untuk menjadikan Tun Mahathir kembali semula sebagai Ahli Parlimen.


Katanya, ini kerana peranan Tun Mahathir dalam usahanya untuk bersama-sama dengan blok pembangkang bagi menjatuhkan Anwar hanya akan berkesan jika bekas Perdana Menteri itu berstatus Ahli Parlimen.


“Tanpa kedudukan sebagai Ahli Parlimen, keyakinan orang ramai kepada Tun Mahathir tidak cukup kukuh.


“Dengan berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, keyakinan itu secara automatik akan menjelma kerana ketika ini hanya Tun Mahathir dirasakan mampu mentadbir negara ini dengan baik,” ujar beliau.


Menurut beliau, tidak dinafikan negeri Kelantan adalah pilihan yang dibincangkan untuk Tun Mahathir bertanding semula dan sudah ada Ahli Parlimen Pas yang sedia untuk mengosongkan kerusinya bagi tujuan itu.


“Negeri Kelantan menjadi pilihan kerana ia dilihat sesuai dengan jiwa serta dasar perjuangan Tun Mahathir mengenai penyatuan Melayu berikutan negeri itu 99 peratus penduduknya adalah Melayu,” tambahnya lagi.


Namun, jelas orang kuat POM itu lagi, ada juga kawasan Parlimen di negeri lain yang menjadi pertimbangan sebagai pilihan kedua bagi Tun Mahathir tandingi.


Setakat ini, katanya, kerusi Parlimen Jasin di Melaka adalah pilihan kedua yang paling hampir untuk diberi laluan kepada Tun Mahathir bertanding, selain perancangan asal di Kelantan.


Tambahnya, di samping Kelantan yang hampir pasti mampu dimenangi dengan mudah oleh Tun Mahathir, Jasin juga dipercayai tiada masalah bagi bekas Perdana Menteri dua kali itu beroleh kemenangan.


“Lagi pun, apabila Tun Mahathir bertanding di situ, orang akan faham tujuannya ialah untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri.


“Mustahil orang Jasin dan Melaka menolak kehadiran seorang bakal Perdana Menteri untuk menjadi wakil rakyat mereka,” kata orang kuat POM itu dengan penuh yakin.


Sebagai makluman, kerusi Parlimen Jasin dimenangi oleh PN pada PRU15 lalu melalui calon Pas, Zulkifli Ismail yang berjaya menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon BN, Roslan Ahmad, calon PH, Harun Mohamed serta calon Pejuang, Mohd Daud Nasir


Kemenangan Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka, sekaligus menyaksikan Jasin buat pertama kali jatuh ke tangan pembangkang selepas kawasan itu dikenali sebagai kubu BN sejak merdeka lagi.


Mungkinkan Jasin bakal mencipta sejarah sekali lagi dengan beroleh Perdana Menteri pula? – ShHbbudinHusin 31/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/