Perlu keluar mengundi, PRN tentukan masa depan negara - Chua Wei Kiat






 Pengundi perlu keluar mengundi pada 12 Ogos ini bagi menentukan kerajaan yang benar benar layak memerintah diangkat di 6 negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).


Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Chua Wei Kiat, sikap pengundi menganggap PRN tidak sepenting Pilihan Raya Umum (PRU) boleh menggelapkan masa hadapan mereka sendiri, terutamanya di Selangor andai Pakatan Harapan dan BN tidak berjaya menubuhkan kerajaan.


"Setiap undi bagi PH dan BN di setiap DUN akan mempengaruhi peluang kemenangan pihak kami, maka saya menyeru semua pengundi aktif keluar mengundi," kata calon DUN Rawang itu.


Tegas beliau, semangat untuk mengekalkan kestabilan politik penting kerana terdapat kawasan DUN di Selangor yang jika menggunakan data pada PRU 15 lalu, PH hanya akan memang sekitar 1,000 undi.


Jumlah majoriti itu tidak cukup untuk memastikan DUN berkenaan selamat sekiranya penyokong PH atau BN tidak keluar mengundi.


"Jika kerajaan PH mengalami kekalahan dalam PRN Selangor, ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada prospek pembangunan negeri tersebut tetapi mungkin akan memberi impak kepada pentadbiran kerajaan pusat secara tidak langsung," katanya.


Selain itu, kata beliau, jika semua orang keluar mengundi dan memastikan kemenangan besar untuk PH dan BN, hal itu akan menyampaikan mesej yang jelas bahawa rakyat menolak ekstremisme agama dan perkauman.


"Ini akan membantu kerajaan pusat untuk lebih fokus dalam pembangunan dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya seperti sekarang, di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim sibuk dengan isu-isu ekonomi dan kebajikan rakyat


"Pada masa yang sama perlu menangani isu-isu perkauman dan agama yang dimainkan oleh PN," katanya.


Beliau percaya tiada kawasan DUN dalam PRN kali ini boleh dijamin sepenuhnya stabil untuk menang, dan sikap pengundi amat penting serta kritikal dalam saat segenting ini.


"Apabila semua orang terlalu rileks ia akan berubah menjadi krisis.


"Jika pengundi merasa puas hati dengan prestasi kerajaan semasa, mereka haruslah keluar mengundi untuk memastikan kerajaan ini terus kekal .


"Juga selain menghadiri acara parti politik, mereka boleh menggunakan kemudahan era digital untuk menghantar mesej yang betul daripada pemimpin kepada keluarga dan rakan-rakan dan untuk menggalakkan mereka mengundi," katanya lagi.




No comments: