Lapangan terbang KXP atau pengairan padi diperlukan rakyat Kedah? - Mahfuz







 Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggap penting oleh Kerajaan PN Kedah belum tentu dianggap keperluan utama rakyat di negeri itu.



Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar sebaliknya berkata, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan projek pengairan moden bagi membolehkan petani menanam padi 5 kali dalam 2 tahun lebih praktikal buat majoriti penduduk.



Malah, katanya, projek KXP yang dicanang Menteri Besar Datuk Seri Sanusi Md Nor tidak mempunyai pembiaya atau pihak swasta yang sanggup menyediakan dana buat masa ini.



"Ini menunjukkan mereka tidak mempunyai perancangan yang rapi. Mereka hanya membina (KXP) atas sentimen nak bina naratif kononnya Kerajaan Persekutuan tidak memberi kerjasama kepada usaha dilakukan mereka.



"Saya tak nampak bagaimana kita boleh mendukung sebuah Kerajaan Negeri yang tidak memunyai idea cukup lengkap nak memacu (ekonomi) negeri. Adakah KXP diperlukan atau pun sistem pengairan padi yang perlu dibaiki?



"Sebab itu Datuk Seri Anwar lebih melihat kepada persoalan realiti. Realiti di Kedah ialah pengairan untuk padi. Sebab negeri ini jelapang makanan negara," katanya kepada Suara Keadilan.




Mahfuz melawat penduduk kurang sihat dalam kempen



Tegas Mahfuz, dua idea tersebut perlu dibezakan oleh pengundi menjelang 12 Ogos ini. Mana satukah akan memberi lebih keuntungan kepada mereka, sama ada meningkatkan hasil padi atau projek lapangan terbang yang belum tentu mereka boleh bekerja dalam sektor terbabit.



"45% padi untuk dijadikan beras dalam negara kita datang dari negeri Kedah. Jadi kalau tak dijaga yang ini, dia akan merosot.



"Oleh itu kita nak upgradekan hasil padi Kedah untuk memastikan keterjaminan makanan. Ini kita nampak perbezaan antara Datuk Seri Anwar dengan Sanusi yang dok tekan soal KXP.



"Orang sini (kampung) pun tak fikir (lapangan terbang). Orang sini fikir saliran, di sesetengah tempat dah berapa musim tak boleh buat padi (akibat masalah pengairan).



"Yang ini Datuk Seri Anwar berpijak di bumi nyata," katanya.



Menurut Calon DUN Alor Mengkudu itu lagi, dengan peruntukan RM3 bilion daripada Kerajaan Persekutuan maka sistem pengairan sawah di Kedah akan sama moden dengan di Sekinchan, Selangor yang mempelopori penanaman padi 5 musim dua tahun.



Malah kawasan bendang yang bermasalah di Alor Mengkudu sejak sekian lama, katanya, boleh diusahakan semula asalkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan diperintah oleh parti yang sama bagi memudahkan urusan mendapat peruntukan.



"Di Alor Mengkudu ada dua tempat (bendang bermasalah), di Titi Liverpool dan Titi Gerigih. Di Titi Liverpool (jambatan) perlu diangkat jadi lebih tinggi untuk saliran air. Jambatan rendah menyebabkan keadaan sawah tenggelam dengan laluan air, tersangkut dengan pokok pokok yang tumbuh terapung.



"Isu itu saya jumpa MADA, melawat dengan bot dan MADA dulu luluskan peruntukan RM500,000 tetapi tak cukup dan projek tidak diteruskan, jadi hal ini kita perlu angkat semula.



"(Sekarang) tidak ada masalah, Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu (satu parti), jadi saya rasa lebih mudah untuk mengatasi masalah dihadapi oleh petani di sini," katanya lagi.