Umno akan buktikan Tuan Ibrahim salah, kata Rafizi

 


Timbalan presiden PKR berkata Umno memahami keperluan bekerjasama dan mengenepikan politik.


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menolak dakwaan pemimpin PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Umno akan “mengkhianati kawannya”.

KUALA LUMPUR: Umno akan membuktikan ramalan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkait “makan kawan” adalah salah, kata Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu berkata Umno memahami kepentingan kerjasama, terutama dalam melakukan reformasi ekonomi yang melancarkan pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Itulah sebabnya kami boleh melakukan semua ini dengan pantas, perkara yang tidak boleh dilakukan sebelum ini kerana tidak ada politik sangat dalam kerajaan perpaduan, ia benar-benar untuk bekerja.

Ads by Kiosked

“Ramalan Tuan Ibrahim akan dibuktikan salah satu hari nanti,” kata Rafizi kepada pemberita selepas melancarkan program “Academy in Industry” (AiI).

Malam tadi, ketika berceramah di Lenggeng, Negeri Sembilan, Tuan Ibrahim berkata Umno akan mengkhianati kawannya apabila parti itu berkuasa.

Beliau merujuk tindakan Umno menarik sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri, dan melakukan undi tidak percaya kepada Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.

Rafizi berkata, beliau tidak menjangkakan sesuatu luar biasa daripada Tuan Ibrahim kerana pembentukan kerajaan perpaduan mengejutkan pembangkang.

“Mereka beranggapan apabila bekerjasama dengan Umno (dalam kerajaan perpaduan) akan berpecah, seperti mana cubaan mereka dalam Muafakat Nasional sebelum ini, namun perkara cukup berbeza berlaku.

“Kerajaan perpaduan wujud sebagai tanggungjawab kepada negara, kami terpaksa telan maruah masing-masing. Kami semua kena melupakan masa lalu dan fokus kepada masa hadapan,” katanya.

Ads by Kiosked

Rafizi berkata, setiap komponen kerajaan perpaduan memahami masa depan politik bukannya “zero-sum game” antara parti politik, sambil merujuk kelincinan rundingan kerusi menjelang PRN 12 Ogos.

“PN bergelut memuktamadkan rundingan kerusi mereka, ada bantahan sana sini, anda tidak melihat ia berlaku dalam parti kerajaan perpaduan kerana bukan lagi mengenai kepentingan individu dalam parti.”

Katanya, tempoh persefahaman politik akan berterusan sehingga “negara kembali bangkit”, di mana terpulang kepada parti lain memutuskan sama ada untuk bersaing antara satu sama lain.

“Apabila kita sampai di peringkat itu, saya rasa Umno, PKR, DAP, Pakatan Harapan atau Barisan Nasional faham rakyat menyokong parti yang berprestasi dan bekerja,” katanya.

No comments: