PRN: KDM bantu PH-BN raih undi 200,000 pengundi Sabah di Selangor


Selain KDM, Umno Sabah juga akan membantu kempen komponen kerajaan perpaduan di Selangor.

Peter Anthony berkata Menteri Besar Amirudin Shari telah memberi komitmen untuk membina dewan khusus untuk komuniti Sabah di Selangor. (Gambar Bernama)





Nora Mahpar - 


PETALING JAYA: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony berkata jentera partinya akan membantu kempen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor sempena PRN bulan depan.

Beliau berkata pihaknya akan cuba meraih sokongan daripada lebih 200,000 rakyat Sabah berhijrah dan mengundi di negeri ini, yang rata-ratanya berpuas hati dengan kemudahan serta pembangunan telah disediakan.


“Sudah tentu dengan jumlah pengundi seramai ini dapat beri kekuatan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dan juga mengekalkan kerajaan Selangor dipimpin PH sejak 2008,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata Menteri Besar Amirudin Shari juga telah menyatakan komitmen untuk membangunkan dewan komuniti khusus bagi kegunaan masyarakat Sabah di Selangor.

Katanya, hasrat itu hasil pertemuan beliau dengan penduduk Sabah di Selangor yang majoritinya suku kaum Kadazan Dusun Murut (KDM).

“Mereka minta dipertimbangkan kemudahan seperti dewan dan kemudahan kebajikan yang lain kerana sudah menetap di sini.

“MB (menteri besar) sudah beri komitmen untuk bina sebulan selepas PRN sekiranya kekal sebagai kerajaan,” katanya.

Selain KDM, Umno Sabah juga akan membantu kempen komponen kerajaan perpaduan di Selangor.

No comments: