APA? MAHIADDIN MAHU JADI PM SEKALI LAGI?...JENG..JENG..JENG......


 Dengan andaian jika kemenangan bergaya berjaya dicatat PN pada PRN enam negeri ini bakal memungkinkan kedudukan Anwar Ibrahim akan tergugat, Mahiaddin Md Yasin difahamkan sejak kebelakangan ini mula menunjukkan kecenderungan ingin kembali semula sebagai Perdana Menteri.

Diandaikan dengan keputusan buruk diterima PH pada PRN nanti, Anwar bukan saja dipercayai akan menerima tekanan yang menadikan kedudukannya lebih bergoncang, dirasakan pemberontakan dalam UMNO agar parti keluar daripada kerajaan perpaduan juga turut dijangka berlaku.

Elemen-elemen itu akhirnya dipercayai paling memungkinkan berkesufahan dengan berlakunya pertukaran kerajaan.

Walaupun Mahiaddin tidak pernah menyatakan hasrat serta keinginanya itu secara terbuka, tetapi beberapa pemimpin gabungan itu menyebut, sebagai orang politik, mereka dapat merasakan keinginan Mahiaddin itu.

Antaranya dikatakan melalui tindakan Mahiaddin yang lebih mahukan Azmin Ali bertanding dan seterusnya dijadikan Menteri Besar Selangor jika PN berjaya merampas negeri tersebut.

Meski tiada sesiapa dinamakan sebagai poster boy, kalangan dalam Bersatu memberitahu, bukanlah rahsia lagi bahawa keinginan Mahiaddin ialah kepada Azmin sebagai calon Menteri Besar.

Mereka kini mula bimbang melihat perkembangan itu kerana kalau perkara itu lebih disedari rakyat, ditakuti ia akan menimbulkan kesan penolakan secara senyap yang lebih besar kepada PN pada PRN akan datang ini.

Ini kerana Mahiaddin ketika memegang jawatan Perdana Menteri telah dikira gagal mentadbir negara dengan pelbagai masalah muncul, tidak proaktif sebab hanya berani membaca perutusan khas dan menghantar kenyataan media, tidak pernah mengadakan sidang media terbuka atau bersemuka dengan wartawan dan pelbagai kekurangan lain lagi yang pasti masih dalam

Ingatan rakyat negara ini.

Secara logiknya, dengan pebagai siri kegagalan itu, adalah tidak mungkin rakyat Malaysia mahu beliau kembali memimpin negara buat kali kedua.

Lebih ditakuti, jika setelah berkuasa nanti, beliau kembali dengan perangai tertutupnya seperti sebelum ini dan hanya mendengar kata nasihat dua tiga orang yang rapat dengannya saja.

Dalam hal ini, ada pemimpin Bersatu turut melontarkan persoalan tentang keinginan Mahiaddin yang semakin dapat dirasakan itu kepada beberapa pemimpin parti lain dalam PN dan ternyata, mereka juga menyedarinya.

Mereka juga dikatakan mengeluh kalau kiranya keinginan Mahiaddin itu benar-benar dinyatakannya atau melalui suara orang-orang kuatnya dalam Bersatu kerana ia pasti mencetuskan masalah dalam PN sendiri.

Hakikatnya dalam PN sekarang ini, berikutan Mahiaddin sudah tergolong dalam kluster mahkamah, selain kerana dikira sebagai bekas Perdana Menteri yang gagal, kecenderungan lebih mahukan Hamzah Zainuddin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri akan datang.

Tambahan lagi, dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya, keinginan Mahiaddin itu hanya menampakkan beliau tiada bezanya dengan Zahid Hamidi yang kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Mula kedengaran suara-suara bahawa kalau PN ingin mendapat lebih sokongan rakyat, gabungan itu mestilah kelihatan berbeza dengan kerajaan perpaduan sekarang dan tidak memberi ruang sama sekali kepada kluster mahkamah beroleh sebarang kedudukan dalam kerajaan sehinggalah kes mereka selesai.

Dengan pemimpin baru dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, mereka percaya, kalau pun perubahan kerajaan tidak berlaku selepas PRN ini, perkara itu lebih mudah digerakkan agar berlaku pada PRU16 akan datang.

Ada pemimpin Bersatu yang merasakan, jika Mahiaddin lebih berjiwa besar dan sedia membuat kenyataan tidak mahu kembali sebagai Perdana Menteri, tetapi sekadar untuk sama-sama dapat memainkan peranan memastikan kemenangan PN, itu adalah yang terbaik sekali dan amat dialu-alukan.

Tetapi kata mereka, jika Mahiaddin tidak mahu mengalah, PN agak berbelah bahagi dalam beroleh sokongan rakyat, baik pada PRN atau PRU16 mendatang. – ShahbudinHusin 17/07/2023.





No comments: